KUANTAN – Salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian membabitkan bas persiaran dan treler di Kilometer 126, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, awal pagi tadi sempat membuat panggilan telefon kepada suaminya sebelum terbabit kemalangan.
Mangsa Hasnatul Adilah Hassan, 48, membuat panggilan video berkenaan kepada suaminya, Saifullizan Abu, 53, kira-kira pukul 12 tengah malam sebelum bas dinaikinya terbabas pada kira-kira pukul 12.40 pagi tadi.
Saifullizan memberitahu, itu kali terakhir dia bercakap dengan isterinya sebelum dimaklumkan isterinya terlibat dalam kemalangan.
“Kami sempat bercakap dalam panggilan video dan saya ada bertanya tentang keadaannya. Dia (Adilah) beritahu dia tidak tahu di mana kerana keadaan jalan yang gelap dan beritahu hendak tidur.
“Saya sempat berpesan kepadanya untuk jaga diri dan anak baik-baik,”katanya ketika ditemui di unit forensik Hospital Muadzam Shah, di sini.
Menurut bapa kepada lima orang anak itu, kali terakhir dia berjumpa dengan Hasnatul Adilah adalah pada petang semalam sebelum mangsa bertolak bersama anak bongsunya, Muhammad Farouq, 12.
Menurut Saifullizan lagi, sebelum kejadian juga, isterinya pernah berpesan untuk menjaga anak-anak sebaiknya.
“Kami sempat bergurau bersama dan sebelum pergi seperti biasa kami akan bersalam tangan dan cium pipi.
“Sebelum ini kami ada bergurau dan ketika bergurau, isteri sempat mewasiatkan supaya saya menjaga anak-anak jika dia pergi terlebih dahulu. Saya memang tidak sangka dia akan pergi dahulu,”katanya.
Difahamkan jenazah Hasnatul Adilah akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah, Melaka. – KOSMO! ONLINE