NEW DELHI – Seorang penumpang kereta api di India mengalami ‘mimpi ngeri’ apabila menemui seekor lipas hidup berkeliaran di dalam pek makanan yang dipesan, lapor saluran berita NDTV semalam.
Individu tersebut berkongsikan video itu di platform media sosial bagi menceritakan kisahnya dan menunjukkan bukti kepada pengguna lain.
“Buat pertama kali saya memesan makan malam daripada IRCTC (Perbadanan Katering dan Pelancongan Kereta Api India) dan inilah yang saya dapat, seekor lipas yang masih hidup,” katanya.
Rakaman itu menjadi tular dan mengundang perhatian ramai pengguna media sosial.
“Lipas ini akan menambah lebih banyak protein pada makanan, diet yang kaya dengan protein rangup,” kata seorang pengguna sambil berseloroh.
“Sebab itu saya tidak makan apa-apa yang dimasak di landasan kereta api atau stesen. Sama ada saya bawa makanan sendiri atau membeli makanan ringan. Saya akan berpuasa pada hari itu jika tidak mempunyai apa-apa,” kata pengguna lain.
Kereta Api India menjadi tumpuan baru-baru ini ekoran isu kebersihan, kesesakan dan kelewatan yang kerap berlaku. Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap penumpang dan menjatuhkan reputasi jabatan itu. – AGENSI