PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan utara dan timur semenanjung malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, ia melibatkan kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan perairan Perlis dan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.
“Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ketinggian ombak mencecah 3.5 meter (m), yang mana berbahaya kepada aktiviti bot-bot kecil,” katanya.
Selain itu, bagi aktiviti perkapalan pula, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dijangka di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka, Samui, Tioman, Condore, barat Bunguran dan Reef North sehingga pukul 9 malam ini.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora dengan kelajuan angin mencecah 50 kmsj dan ketinggian ombak 3.5 m itu, adalah berbahaya kepada aktiviti bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE