SEPERTI bidalan, tiada angin, tiada ribut, itu yang berlaku dalam dunia hiburan tanah air selepas pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid yang berdepan cabaran tergetir dalam kerjayanya apabila dikatakan berdakwah menggunakan hadis tidak sahih.
Berikutan itu, Don, 40, seolah menggoncang satu Malaya sehingga mendapat perhatian Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) dan juga terbaharu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memaklumkan akan memanggil figura tersebut bagi mendapatkan perincian berhubung kontroversi dikaitkan dengannya.
Sebagai seorang manusia yang tidak sempurna atau jauh sekali bergelar pundit agama, bukan berniat untuk menyebelahi sesiapa, tetapi sesungguhnya di dunia ini tiada orang yang sempurna dari segala segi.
Sedar khilaf – Ustaz Don
Begitu juga Ustaz Don dan begitu juga sesiapa yang membaca tulisan picisan ini. Ada kemungkinan, ketika lelaki itu berdakwah, tujuannya cuma satu iaitu agar apa yang diperkatakan mudah diterima khalayak.
Tiada niat untuk menyeleweng iman sesiapa atau pun dalam pada kita leka berbicara, setiap patah perkataan diluncurkan kadangkala terkeluar daripada landasan sebenar secara tidak sengaja. Walllahualam.
Cumanya secara peribadi, andai benar Don melanggar ‘undang-undang’, adalah lebih baik memohon maaf sahaja dan tidak usahlah cuba menegakkan benang yang basah.
Sekali lagi, perlu dilazimkan dalam ingatan semua manusia sama ada yang dekat atau jauh dengan agama bahawa, tiada manusia di dunia ini yang sempurna serba-serbi. Melakukan kesilapan itu adalah perkara biasa, tidak kiralah setebal mana celak di bawah mata atau seputih mana serba di atas kepala.
Don ketika dihubungi HibGlam mengakui khilaf dan berlapang dada dengan dugaan didepaninya dalam menegakan syiar Islam.
“Pertama sekali, terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan semua orang atas apa yang berlaku.
“Setakat hari ini, saya berlapang dada dengan keputusan dan arahan daripada pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya yang direhatkan daripada bersiaran dalam program Salam Baitullah.
Lulusan Universiti Al Azhar, Mesir itu mengakui amat menghormati pandangan ulama’ yang pakar dalam hal ehwal melibatkan hadis dan agama.
“Arahan Ulil Amri (ulama) selagi tidak bercanggah mesti dipatuhi. Perkara ini, saya selalu tekankan dalam mana-mana keadaan atau situasi. Alhamdulillah, saya masih boleh meneruskan dakwah, itu satu perkara yang baik,” ujarnya lagi.
Ilmu dibawa mati
Perlu diingatkan bahawa, memperjuangkan apa yang benar di sisi agama adalah tuntutan dan sementelah, menjaga hubungan dengan saudara seagama juga sama pentingnya.
Andai seseorang Muslim terngadah dan terkhilaf, adalah menjadi kesukaan Ilahi agar sama-sama diperbetulkan. Bukan dengan cacian atau makian tetapi dengan nasihat atau bahasa yang menginsafkan membawa semula ke landasan yang benar.
Ustaz Don barangkali sudah berdepan dengan hukuman dunia apabila kerjayanya sebagai pendakwah direhatkan seketika.
Bergerak ke hadapan sebagai seorang Muslim yang lebih nurani pekerti, kesilapan lalu dijadikan sempadan agar pisang tidak berbuah dua kali.
Hal ini kerana, pendakwah bermaksud orang atau golongan yang menyebarkan ajaran sesuatu agama.
Orang awam atau khalayak pula lazimnya mudah termakan atau terpancing dengan apa diperkatakan baik dalam ceramah agama atau menerusi platform media sosial.
Antara perkara yang dibawa selepas mati termasuklah ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain di samping sedekah jariah dan doa daripada anak yang soleh. Untuk itu, tepuk dada, tanyalah selera masing-masing.