PETALING JAYA – Institut Jantung Negara (IJN) sekali lagi diiktiraf sebagai antara hospital pakar terkemuka di rantau Asia Pasifik (APAC) apabila kini menduduki ranking ke-26 dalam senarai Hospital Pakar Terbaik APAC 2024 oleh Newsweek.
Pencapaian tersebut juga berjaya mengubah kedudukan IJN pada tahun lalu ditangga ke-30, yang kini mendaki empat lagi anak tangga ke kedudukan ke- 26.
Jabatan Komunikasi Korporat IJN berkata, hospital itu juga berada di tangga ke 46 dalam bidang pembedahan jantung yang juga mula diperkenalkan pada ranking kali ini.
Katanya, senarai ranking Hospital Pakar Terbaik APAC 2024 itu adalah perkongsian antara majalah Newsweek dari Amerika Syarikat dan firma penyelidikan pasaran global Statista.
Ia memberi penghormatan kepada hospital khusus terkemuka di sembilan negara di rantau Asia Pasifik, iaitu Australia; India; Indonesia; Jepun; Malaysia; Singapura; Korea Selatan; Taiwan; dan Thailand.
“Untuk tahun kedua, penarafan ini merangkumi beberapa tonggak dan paling utama adalah tinjauan antarabangsa dalam talian terhadap profesional perubatan untuk mengukur reputasi penyedia kesihatan.
“Tinjauan edisi kali ini dikumpulkan daripada beribu-ribu pengamal perubatan dan pentadbir kesihatan di seluruh negara APAC antara Februari hingga April lalu dimana peserta mengesyorkan hospital dalam bidang kepakaran mereka sendiri serta bidang perubatan sekunder,”katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, pihaknya gembira dengan pengiktirafan berprestij sekali lagi yang diterima hospital itu tahun ini dan akan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik selepas ini.
“Ini membuktikan bahawa kami berada di landasan yang tepat ke arah kecemerlangan bagi penjagaan kesihatan. Kami amat berterima kasih atas dedikasi dan komitmen berterusan seluruh pasukan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE