fbpx

Fokus buru kemenangan dahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara perlu mencatat kemenangan besar sambil mengharapkan kemenangan Oman untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya. - FB FAM

SKUAD Harimau Malaya digesa untuk berpijak di bumi nyata meskipun terdesak untuk memburu jaringan besar menjelang aksi terakhir kelayakan Kumpulan D menentang Taiwan pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Sebagai rekod, ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon meluahkan keyakinan untuk pasukan negara meledak lapan gol bagi mencerahkan peluang lolos ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026 nanti.

Bekas pemain kebangsaan, Stanley Bernard mengakui Harimau Malaya perlu bersikap realistik kerana bukan mudah untuk melakar kemenangan besar meskipun ia tidak mustahil untuk dicapai.

Kata Stanley, situasi semasa memang tidak memihak kepada skuad kebangsaan, tetapi apa yang penting buat pemain ketika ini adalah mengakhir kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan nota kemenangan.

“Pada saya situasi agak sukar dan sudah di luar tangan (kuasa) kita. Lebih baik kita fokus kepada diri kita dan cuba menamatkan saingan dengan melakar kemenangan.

“Meskipun jurulatih (Pan-gon) sudah memberikan sasaran (lapan gol), perkara itu (tidak mustahil) jika kita boleh beraksi baik pada 15 minit awal. Namun, saya rasa ia juga memberi tekanan tambahan buat pemain.

“Apa yang penting, saya harap pemain kekal bersikap realistik kerana Taiwan pun adalah pasukan yang okay walaupun mereka berada di tempat tercorot ketika ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Mengulas lanjut, Stanley berharap Pan-gon dapat mengatur strategi lebih ampuh dengan memberi peluang buat pemain-pemain yang sudah biasa menjaringkan gol untuk memacu jentera serangan skuad negara.

“Saya harap pada perlawanan akan datang mungkin kita boleh berikan peluang kepada pemain yang ada naluri penyudah untuk bermain dan sudah biasa menjaringkan gol sebelum ini.

“Pemain-pemain seperti Akhyar Rashid, Paulo Josue dan Safawi Rasid wajar diberikan kesempatan dalam membantu negara memburu gol tambahan nanti.

“Saya lihat penyerang muda, Haqimi Azim pun boleh menawarkan kelainan di jentera serangan andai diberi peluang oleh jurulatih,” katanya lagi.

Skuad negara ketika ini menduduki tangga ketiga Kumpulan D dan berharap dapat memintas kedudukan Kyrgyzstan untuk muncul naib juara sekali gus mara ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026.

Pan-gon meluahkan keyakinan terhadap anak-anak buahnya untuk mengulangi pencapaian cemerlang apabila pernah menewaskan Papua New Guinea 10-0 pada aksi persahabatan tahun lalu.

Bagaimanapun, pada pertemuan awal peringkat Kumpulan D di Taipei pada November lepas, skuad negara hanya mampu menewaskan Taiwan 1-0.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI