PETALING JAYA – Pelakon Farid Kamil memberikan sokongan penuh terhadap minat anak lelakinya, Muhammad yang aktif dalam bermain sukan bola sepak sehingga ke peringkat antarabangsa.
Kata Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari, 43, dia dan isteri, Diana Danielle saling positif dalam memberi pendedahan kepada anak-anak untuk menceburi bidang sukan.
“Kami mengambil contoh didikan ibu bapa di luar negara yang memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk mencuba bidang sukan sejak di usia kanak-kanak.
“Seperti Muhammad, saya mula memberi pendedahan buatnya untuk terlibat dalam sukan bola sepak sekitar usia 4 tahun,” katanya.
Sementara itu, bagi anak keduanya iaitu Nur Aurora pula diberikan peluang untuk mencuba dalam sukan gimnastik dan tenis.
“Kalau hendak menjadi atlet profesional itu terpulang kepada mereka. Tetapi, tujuan utama membenarkan mereka masuk dalam bidang sukan ialah untuk membina jati diri dan pertumbuhan fizikal seorang ahli sukan.
“Selebihnya saya ingin mereka gembira dan menikmati kehidupan kanak-kanak yang aktif dalam sukan. Saya juga dahulu ketika seusia mereka sangat aktif dalam sukan,” ujarnya lagi.
Pelakon filem J Revolusi itu juga berusaha meluangkan waktu untuk mengikuti anak menyertai perlawanan bola sepak di luar negara.
“Dia baru saja pulang menyertai kejohanan di Pattaya, Thailand baru-baru ini. Biarpun keputusan yang tidak memberangsangkan, tetapi kami tetap memberi sokongan kepadanya agar bersemangat untuk membuat persediaan bagi tahun depan.
“Ibunya pun tidak memberikan halangan terhadap sokongan untuk aktif dalam sukan. Muhamad kini menyertai kelab KDH (Kim Do Heon) Global Sports.
“Biarpun aktif dalam sukan, saya dan isteri cuba sentiasa berdoa dan berusaha agar sukan dan pelajaran dapat diseimbangkan,” katanya.
Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Terdahulu pada 10 Ogos tahun lalu, Diana dan Farid sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Mereka bagaimanapun kembali rujuk sebagai suami isteri dalam tempoh idah – KOSMO! ONLINE