LONDON – Pasukan McLaren memberi amaran bahawa pembentangan draf peraturan 2026 yang dikeluarkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) baru-baru ini terutama pada jentera yang bakal mereka gunakan nanti berdepan risiko terutama soal prestasi.
Ketua Pasukan McLaren, Andrea Stella merasakan gambaran peraturan yang dikeluarkan FIA baru-baru ini menyebabkan jentera yang akan mereka guna nanti menjadi lebih pertahan terutama di selekoh dan terlalu laju di laluan lurus.
Justeru, Stella menjelaskan beliau dan ketua pasukan yang lain akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan kerisauan mereka mengenai peraturan 2026 dalam mesyuarat khas yang diadakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.
“Saya percaya draf yang dikeluarkan FIA menyebabkan jentera yang bakal digunakan kami nanti tidak cukup pantas di selekoh dan terlalu laju di laluan lurus. Jadi, kedua-dua aspek ini perlu diseimbangkan semula.
“Sudah tiba masanya untuk FIA, F1 dan pasukan bekerjasama untuk mendengar antara satu sama lain untuk membentuk penyelesaian yang membolehkan sukan itu mencapai objektif terbaik,” Tegas Stella.
Ketua Williams, James Vowles menyokong kirsauan yang didedahkan Stella bahawa isu prestasi perlu ditangani dan merasakan adalah penting bagi F1 mengekalkan kedudukannya sebagai kategori perlumbaan terpantas di dunia mengatasi Super Formula dan IndyCar. – AGENSI