SHAH ALAM – Timbul desas-desus perkahwinan tidak direstui nenek tersayang, Rozie Othman, bekas anggota kumpulan Dolla iaitu Syasya menegaskan sudah memberi bayangan awal kepada dramatis itu mengenai keputusan mendirikan rumah tangga.
Pun begitu, Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 23, memahami perasaan neneknya yang ketika itu sedang mengerjakan umrah apabila terkejut dimaklumkan mengenai keinginan mahu bernikah dengan segera.
“Sebenarnya saya sudah cakap dan bagi ‘hint’ dekat nenek yang saya mahu kahwin. Saya seorang yang suka simpan masalah dan sesuatu hal sendiri, dah lama baru beritahu orang.
“Saya minta doakan hubungan saya. Kebetulan dia sedang mengerjakan umrah dan minta doakan di sana. Dia terkejut sebab balik sahaja dari Mekah, saya nikah.
“Sebelum nak majlis akad nikah, ada telefon dia beritahu. Sebab tak sangka nak nikah ketika dia sedang berada di Tanah Suci Mekah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sementara itu, suaminya Nasrullah memberitahu, dia dan isteri sudah berjumpa dengan Rozie sejurus dia pulang dari mengerjakan umrah dan sudah menjelaskan segala perkara secara terperinci.
“Saya dan isteri sudah lama tidak berjumpa dengan dia, selepas kami bernikah ada pergi bertemu dengannya dan dia (nenek) sangat baik.
“Dia terima perkahwinan kami, dia ada belanja tau fu fah (makanan), “ katanya ketika ditemui pada majlis resepsinya yang berlangsung di Magica Subang Hall, malam tadi.
Dalam pada itu, Syasya turut mengulas mengenai khabar angin yang timbul mengatakan suaminya, Nasrullah Mohd. Sapie, 23, tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Nenek pun faham sahaja perangai dia yang dengar cerita daripada pelbagai pihak. Kemudian buat rumusan daripada cerita yang didengar.
“Bila dah jumpa nenek dan terangkan segalanya dan dia sudah jumpa Nasrullah secara berdepan, dia gembira dan ucap alhamdulillah,” tutupnya
Imbas kembali, pada 8 April lalu, Syasya mengejutkan peminat apabila dia mengumumkan tidak lagi bersama Dolla dan difahamkan keputusan tersebut dibuat atas faktor peribadi.
Bagaimanapun pada 21 April lalu, pihak syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengesahkan Syasya sudah selamat bergelar isteri.
Hal itu, susulan foto pernikahan Syasya dan suami tersebar dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE