SHAH ALAM – Aliran berbuih dikesan sebanyak dua kali masing-masing di Sungai Gombak dan Loji Rawatan Air (LRA) Gombak dekat sini, semalam.
Insiden tersebut dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kira-kira pukul 1 tengah hari dan 8 malam.
LUAS berkata, dalam insiden pertama di aliran Sungai Gombak tersebut turut didapati bau seakan diesel juga dikesan di satu lokasi tapak projek pembangunan di kawasan aliran tersebut.
“Pasukan LUAS telah segera membuat semakan di lokasi berkenaan dan disyaki terdapat aktiviti pencucian jentera.
“Aliran cucian tersebut masuk ke longkang premis dan seterusnya ke dalam kolam rawatan dan ke sungai berhampiran,” katanya menerusi perkongsian di laman rasmi Facebooknya.
LUAS menambah, pensampelan kemudiannya dibuat di lokasi-lokasi berkaitan di premis berkenaan sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.
Ujarnya, aliran berbuih kemudiannya dikesan semula di LRA Gombak dengan pensampelan turut dibuat bagi mengenalpasti kandungan aliran berbuih tersebut.
“Keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan LUAS bersama Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) sedang menjalankan siasatan menjejaki punca aliran berbuih berkenaan di hulu Sungai Gombak dan anak-anak sungai berkaitan,” katanya. -KOSMO!ONLINE