GEORGE TOWN – Seorang lelaki maut manakala tiga lagi termasuk seorang wanita mengalami kecederaan apabila kereta yang mereka naik terbabas lalu merempuh sebuah jengkaut (backhoe) di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Jelutong di sini, awal pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 28 tahun dipercayai pemandu kereta jenis Proton Saga disahkan maut di tempat kejadian.
Semasa kejadian berlaku, kereta dipandu mangsa menghala ke arah Jambatan Pulau Pinang manakala backhoe berada di laluan bertentangan menuju ke pusat bandar George Town.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Mohd. Fadli Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.16 pagi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kemalangan.
Menurutnya, operasi turut melibatkan bantuan keanggotaan dari BBP Bayan Baru.
“Sebaik tiba di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai telah terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah jentera backhoe.
“Terdapat empat mangsa iaitu dua lelaki mengalami kecederaan ringan manakala seorang wanita parah dan dibawa ke hospital menggunakan EMRS (Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan).
“Seorang lagi mangsa lelaki disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Mangsa dikeluarkan pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas,” katanya di sini, hari ini. -KOSMO! ONLINE