MEKAH – Tempoh 35 tahun bukan satu jangka masa yang singkat untuk memupuk sifat konsisten dalam membuat tabungan.
Sudah semestinya pelbagai dugaan dan kekangan kewangan wujud dalam tempoh berkenaan yang mungkin merencatkan perancangan.
Bagaimanapun, bagi Baharin Osman 60, kesabaran dan keazaman tinggi membuktikan tiada yang mustahil, lebih-lebih lagi melihat arwah datuknya mampu berbuat demikian sehingga semua anaknya dapat mengerjakan haji ketika usia muda.
“Saya mula menabung sejak mereka lahir dengan jumlah hanya RM50.Apabila dapat saja surat beranak daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), saya terus buka akaun dan daftarkan mereka satu persatu
“Boleh dikatakan semua anak saya seminggu sahaja lahir sudah ada akaun Tabung Haji dan didaftarkan haji.Alhamdulilah hasilnya sekarang apabila semua anak dan menantu saya dapat mengerjakan haji serentak,” katanya.
Baharin bersama isteri dan lapan anak serta empat menantunya antara sebahagian 31,600 jemaah haji bagi musim 1445H/2024M.
Anak-anaknya Afifa Baharin, 31, bersama suaminya Abdul Hadi Abdul Hafidz, 31, Afiqah, 30 bersama pasangannya Ahmad Ramzie Ramle, 32, Afqar, 29 bersama isterinya Nur Aqilah Ismail, 29, Afnan, 27 bersama Nur Adibah Marzida Ghazali, 28, Afrina, 25, Afdhal, 23, Afifudin, 20 dan Afiq, 18 mewakili 986 jemaah Sarawak.
Menurut Baharin lagi, untuk memastikan dirinya kekal konsisten dalam membuat tabungan, dia akan memastikan jumlah wang tabungan sebaik gaji diterima setiap bulan.
“Kalau sudah buat potongan tiap-tiap bulan, ia bermakna kita sudah ketepikan wang dan hanya menggunakan sumber yang ada sahaja.
“Apa yang penting, kita uruskan wang selepas segala potongan dibuat.Memang sukar. Tetapi percayalah nanti akan ada kemanisannya,” jelasnya.
Tambah Baharin, untuk menunaikan ibadah haji sekeluarga termasuk menantu bukan sesuatu yang mudah.
“Hanya saya, isteri dan lapan anak sahaja yang menerima tawaran haji dan tidak melibatkan menantu.
“Justeru saya perlu membuat rayuan terlebih dahulu bagi membolehkan kami sekeluarga dapat menunaikan haji serentak,”ujarnya
Baharin bersama isteri, Heliza telah mendirikan tangga sejak lebih 20 tahun lalu dikurniakan lapan orang anak.-KOSMO! ONLINE