fbpx

Siti Nurhaliza mahu hadiahkan badal haji buat Huzz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemergian bekas wartawan hiburan tersohor juga bekas Pengarang URTV, Huzz meninggalkan kesan emosi cukup kuat terhadap dunia kewartawanan hiburan dan selebriti tanah air.

Antara  selebriti yang akrab dengan Allahyarham termasuklah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Terkesan dengan pemergian  insan yang banyak menyumbang jasa dalam karier seninya, Siti meluahkan hasrat untuk memghadiahkan atau menaja badal (upah) haji buat Allahyarham.

Tidak sekadar luahan sayu, penyanyi Bukan Cinta Biasa itu pernah menyuarakan hasrat murninya ketika menziarahi arwah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K).

“Saya dan suami sempat menziarahi Allahyarham di hospital, saya bawakan air zam-zam (baru pulang dari Mekah ketika itu). Berada bersama-samanya dan berbual-bual sekitar satu jam. 

“Meskipun sakit, dia tetap tersenyum dan bercerita pengalaman-pengalaman kami bersama sepanjang saling bekerjasama.

“Allahyarham juga turut mendapat bantuan daripada Yayasan Nurjiwa sewaktu pihak kami mengadakan majlis berbuka puasa (infaq Ramadan) dan dia diwakili rakan wartawan untuk menerima sumbangan itu.

“Kami sempat memberi khabar bahawa pihak Yayasan Nurjiwa akan menunaikan badal haji buat Allahyarham. Doakan agar urusan badal haji Allahyarham dapat pihak kami sempurnakan,”katanya.

Siti berkongsi perkara berkenaan  menerusi hantaran Instagram sebentar tadi.

Mengenali Huzz sejak awal penglibatannya dalam industri seni, Siti menyifatkan  pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar dalam bidang kewartawanan khususnya industri hiburkan tanah air.

“Seorang sahabat media yang saya kenali sejak dari awal bergelar artis

“Sentiasa memberikan kerjasama yang baik sepanjang beliau menjadi wartawan dan tentunya kita kehilangan sosok tokoh senior dalam bidang ini.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan Allah menempatkan Allahyarham di syurga.

“Semoga urusan pengebumian Allahyarham juga berjalan lancar,” tulisnya.

Huzz atau Kamal Huzaini Kamaludin,58, menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman abangnya di Bertam, Kepala Batas, Pulang Pinang akibat komplikasi kanser usus tahap empat.

Arwah dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.10 petang tadi.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bertam, Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI