MOSCOW – Sebuah kawah gergasi dikenali sebagai ‘Pintu ke Neraka’ yang terletak di Siberia menjadi semakin besar akibat impak perubahan iklim, demikian menurut sekumpulan saintis seperti laporan akhbar The New York Post semalam.
Di namakan Kawah Batagaika, lubang yang terletak di Tanah Tinggi Yana itu kini meliputi kawasan seluas 80.93 hektar. Kawah itu turut boleh dilihat menerusi rakaman satelit dari angkasa lepas.
Gambar Batagaika pertama kali dirakam pada tahun 1991. Namun, kawah itu menjadi semakin besar dan lebih dalam kerana pemanasan global yang menyebabkan kecairan kawasan diliputi ais.
Dalam kajian baharu diterbitkan dalam jurnal Geomorphology, saintis glasier, Alexander Kizyakov bersama pasukannya menggunakan data yang diperoleh pada 2019 hingga 2023 untuk mencipta paparan 3 Dimensi (3D) tentang kelajuan kecairan kawasan ais itu ataupun dikenali sebagai permafrost.
Mereka mendapati Kawah Batagaika memiliki kedalaman 91.4 meter dan berpotensi menjadi lebih dalam kerana pencairan permafrost hampir mencapai batuan dasar di bahagian bawahnya. – AGENSI