KUALA LUMPUR – Impian jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar untuk melakukan kejutan menumbangkan juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat tidak kesampaian apabila tewas menerusi keputusan pengadil (unanimous decision).
Pada pertarungan ONE Championship 167 di Impact Arena, Bangkok tersebut, Johan atau dikenali Jojo itu menampilkan perlawanan cukup baik pada Pusingan 1 dengan melakukan beberapa tumbukan tepat ke arah muka Tran Duy.
Bagaimanapun, Jojo yang mewakili Rentap Muay Thai Gym dilihat berang apabila Tran Duy beraksi terlalu berhati-hati dengan sering mengundur dan enggan bertempur jarak dekat bagi mengelak terkena tumbukan jaguh berusia 18 tahun itu.
Tindakan Tran Duy dilihat menjadi apabila sering melakukan sepakan dan hampir membuatkan Jojo tumbang selepas tumbukan tangan kirinya tepat menuju ke arah muka Jojo.
Pada pusingan terakhir, Jojo meningkatkan intensiti perlawanan dan hampir membuatkan Tran Duy bermasalah selepas terkena siku jaguh berusia 18 tahun hingga terjatuh.
Bagaimanapun, Tran Duy mempunyai kelebihan apabila tindakannya sering menggunakan sepakan tepat ke arah Jojo sekali gus membolehkan dia memenangi perlawanan itu menerusi keputusan pengadil.
Ini adalah kekalahan pertama buat Jojo selepas enam pertarungan sejak Februari tahun lalu.
Untuk rekod, kali terakhir Jojo bertarung adalah pada 8 Disember tahun lalu yang menyaksikan dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan ‘knockout’ (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok.
Malah, Jojo turut mempunyai rekod tersendiri dengan menumbangkan lawan dari Thailand, Padetsuk Fairtex menerusi ‘knockout’ (KO) di pertarungan ONE Friday Fights 6 pada Februari tahun lalu dalam tempoh 16 saat. – KOSMO! ONLINE