JOHOR BAHRU – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memberikan komitmen parti itu akan membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Menurut beliau, situasi di PRK berkenaan tidak sama dengan PRK terdahulu yang menyaksikan partinya tidak terlibat dalam kempen Kerajaan Perpaduan di PRK Kuala Kubu Baharu, sebelum ini.
“Senario dia agak berlainan, saya difahamkan Barisan Nasional (BN) telah adakan perbincangan untuk membantu.
“Dalam kes ini, apabila sudah ada permintaan pihak bertanding maka saya rasa kita boleh bantu, tetapi setakat mana kita masih lagi melihat susunan kerja yang patut dibuat,” katanya pada sidang akhbar sempena Konvensyen BN Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memberitahu, pihaknya berterima kasih dengan semangat ditunjukkan semua parti komponen BN dalam berdepan PRK DUN Sungai Bakap. – KOSMO! ONLINE