LABUAN – Sebanyak 34 kenderaan pelbagai jenama disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menerusi Ops Radu 2024 yang dilaksanakan melalui beberapa siri operasi ekoran tidak kembali ke pulau bebas cukai berkenaan selepas tamat tempoh 90 hari.
Pengarah JKDM Labuan, Aspalila AG Tuah berkata, pasukan operasi memburu semua pemilik kenderaan yang melanggar syarat di bawah butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
“Sitaan membabitkan 34 kenderaan pelbagai jenama dengan nilai rampasan RM3,085,030.78. Berdasarkan butiran 14, kenderaan dibeli ke Pulau Bebas Cukai (PBC) Langkawi dan Labuan dibenarkan masuk ke kawasan Utama Kastam (KUK) tidak lebih 90 hari dalam setahun,” katanya pada satu sidang akhbar hari ini.
Aspalila berkata, mondus operandi yang dikesan adalah kenderaan dibawa masuk ke KUK dengan menggunakan kemudahan di bawah butiran 14 namun kenderaan itu kemudiannya tidak kembali ke PBC selepas tamat tempoh.
Beliau berkata, semua kenderaan pelbagai jenama itu disita bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Sekyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE