KUALA LUMPUR – Langkah skuad ragbi 15 sepasukan (15’s) untuk mencipta kemenangan pada Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) tidak kesampaian apabila tumbang 6-70 terhadap Hong Kong di Stadium Universiti Putra (UPM), hari ini.
Kekalahan tersebut sekali gus gagal menutup rasa pahit skuad negara ekoran tumpas di tangan Korea Selatan 5-55 dalam aksi pembukaan Divisyen Perdana di Incheon pada minggu lalu.
Pengendali Bunga Raya 15’s, Farid Syazwan Abu Bakar akur dengan kekalahan tersebut kerana sedar kelebihan yang ada pada barisan pemain Hong Kong terutama fizikal menjadi senjata utama lawannya itu mencipta kemenangan.
“Sebelum aksi dengan Hong Kong sememangnya kami menyedari kelebihan mereka dari segi fizikal. Kita nampak jelas ketara perbezaan fizikal antara pemain kita dan mereka,” katanya sejurus tamat perlawanan sebentar tadi.
Ujarnya, beliau sudah memberi pesanan kepada pemain agar jangan anggap kelemahan itu sebagai alasan untuk tidak memberi tentangan kepada The Dragons tambahan pula beraksi di laman sendiri.
“Tunjuk kebolehan apa yang mereka ada, walaupun ada kekurangan tetapi tetapi mempunyai hati mewakili negara. Saya bangga mereka tidak menunjukkan erti kalah walaupun tumpas dengan jaringan besar.
“Kita nampak mungkin selepas ini perlu rancang latihan menjurus ke arah fizikal, sekarang fokus untuk habiskan kejohanan terlebih dahulu. Setakat ini, banyak kelemahan sudah dikenal pasti,” tambahnya.
Selepas ini, skuad ragbi negara perlu melakukan sehabis baik untuk menumbangkan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 21 Jun agar mereka kekal dalam Divisyen Perdana tersebut musim depan.
Dalam perlawanan sebentar tadi, Hong Kong terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi try, Alex Post dan selepas itu mereka terus melakukan empat try untuk memboleh mereka di depan dengan 42-3
Bersambung babak kedua, Malaysia terus tertekan apabila hanya meraih satu penalti menerusi Lee James Chapman dan Hong Kong terus mengganas sejurus melengkapkan empat try untuk memastikan kemenangan milik mereka. -KOSMO! ONLINE