SELEPAS ‘kemarau’ 24 tahun, Scotland kembali membuat penampilan di pentas Euro pada edisi 2020 yang lepas dan berjaya mengekalkan momentum tersebut untuk layak kali kedua berturut-turut pada saingan 2024 di Jerman kali ini.
Scotland mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Euro kali ini selepas merebut slot automatik yang ditawarkan kepada pasukan kedua terbaik pada pusingan kelayakan sebelum ini.
Peluang Scotland untuk mara ke pusingan kalah mati dilihat sukar apabila diundi dalam Kumpulan D bersama tuan rumah, Jerman selain dua pasukan berpengaruh seperti Hungary dan Switzerland.
Namun, skuad The Tartan Army dilihat masih mampu memberikan saingan sengit kepada ketiga-tiga pasukan berdasarkan keampuhan mereka di posisi pertahanan.
Antara pemain ternama yang menguatkan benteng Scotland pada kempen kali ini adalah penjaga gol berpengalaman, Craig Gordon selain tonggak berpengaruh seperti bintang Liverpool, Andrew Robertson, Kieran Tierney dan Liam Cooper.
Pengendali Scotland, Steve Clarke mengakui sudah mula memasang impian untuk melihat anak-anak buahnya mencatat sejarah dengan mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama nanti.
Bagaimanapun, Clarke enggan memberi sebarang sasaran atau tekanan tambahan kerana lebih berminat untuk mengharungi satu demi satu perlawanan.
“Untuk layak ke kejohanan Euro buat kali kedua berturut-turut bukanlah tugas yang mudah. Anda harus ingat pada edisi 2020, kita perlukan 24 tahun percubaan sebelum berjaya layak.
“Selepas itu, saya tekankan kepada persatuan bahawa tumpuan adalah memastikan negara ini layak pada setiap kejohanan utama seperti Euro dan Piala Dunia barulah kita boleh berfikiran lebih jauh.
“Namun, harus diakui jauh di sudut hati saya mahu melihat pasukan mencipta kejutan lolos ke pusingan 16 terbaik pada kempen kali ini kerana kita memiliki peluang keemasan,” katanya.
Sementara itu, Scotland bakal mempertaruhkan tonggak tengah Manchester United, Scott McTominay sebagai sandaran utama untuk memburu gol pada kejohanan Euro nanti.
Situasi itu disebabkan ketajaman McTominay meledak tujuh gol sepanjang kempen kelayakan yang lepas sekali gus setanding dengan penggempur negara Eropah yang lain.
Sepanjang sejarah Euro, Scotland sudah melakukan tiga penampilan sebelum ini pada 1992, 1996 dan 2020, namun mereka menamatkan semua edisi tersebut di peringkat kumpulan.
INFO
SCOTLAND
PASUKAN : Scotland
GELARAN : The Tartan Army
KETUA JURULATIH : Steve Clarke
KAPTEN : Andrew Robertson
RANKING FIFA: No. 39 dunia
PENCAPAIAN TERBAIK: Peringkat kumpulan
SENARAI PEMAIN
PENJAGA GOL
Craig Gordon (Hearts)
Zander Clark (Hearts)
Angus Gunn (Norwich)
Liam Kelly (Motherwell)
PERTAHANANAN
Greg Taylor (Celtic)
Anthony Ralston (Celtic)
Andrew Robertson (Liverpool)
Grant Hanley (Norwich City)
Kieran Tierney (Arsenal)
Scott McKenna (Copenhagen)
Jack Hendry (Al-Ettifaq)
Liam Cooper (Leeds United)
Ryan Porteous (Watford)
John Souttar (Rangers)
Ross McCrorie (Bristol City)
TENGAH
John McGinn (Aston Villa)
Callum McGregor (Celtic)
Stuart Armstrong (Southampton)
Scott McTominay (Man. United)
Ryan Christie (Bournemouth)
Kenny McLean (Norwich City)
Billy Gilmour (Brighton)
Ryan Jack (Rangers)
PENYERANG
James Forrest (Celtic)
Lyndon Dykes (QPR)
Che Adams (Southampton)
Lawrence Shankland (Hearts)
Ben Doak (Liverpool)