SUNGAI PETANI – Enam beradik hilang tempat bermanja dan bertukar menjadi yatim sekelip mata apabila ibu mereka dijemput Ilahi, kelmarin.
Lebih menyedihkan mereka tidak dapat bertemu dengan Siti Khalijah Che Saad, 38, pada saat akhir kerana ibu tersayang meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim di sini selepas 12 hari menerima rawatan akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan penyakit buah pinggang.
Walaupun masih mempunyai bapa, Wan Azibi Wan Zahari, 42, namun kasih ibu tiada galang gantinya tambahan lagi ketika kesemua mereka masih memerlukan bimbingan dari ibu di saat sedang membesar.
Anak sulung pasangan itu, Wan Siti Nur Syafiqah, 18, berkata, dia sanggup tidak menyambung pelajaran selepas tamat tingkatan lima tahun lepas kerana ingin menjaga dan berada di sisi ibunya yang mula mengalami masalah kesihatan akibat demam panas berpanjangan.
“Kesihatan ibu mula merosot hujung tahun lepas dan saya yang ambil alih buat kerja rumah dan jaga adik beradik,” jelasnya.
Adik beradiknya adalah Wan Amirul Syafiq, 17, Wan Amirul Syahir, 15, Wan Puteri Nur Fitrah, 13, Wan Amirul Syakir, 12, dan adik bongsu Wan Puteri Nur Syahirah, 6 tahun.
“Dengan pendapatan ayah sebagai pembantu pemandu lori dapatlah kami hidup seperti keluarga lain kerana mempunyai wang untuk memenuhi keperluan harian,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Taman Universiti, Semeling, Bedong di sini semalam.
Kata Wan Siti Nur, kehidupan keluarga mereka mula dihimpit susah apabila bapa diberhentikan kerja ekoran kerap mengambil cuti kerana perlu berulang alik membawa ibu mendapatkan rawatan di hospital.
“Kami hanya bergantung harap kepada bantuan bulanan zakat semata-mata sedangkan kos lima adik yang masih belajar tinggi, selain wang diperlukan untuk rawatan berkala dan membeli ubat ibu.
“Adik bongsu kami sehingga hari ini masih mencari ibu dan dia tidak faham ibu sudah meninggal dunia,” jelasnya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menghubungi Wan Azibi di talian 017-4406001 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybanknya 107321011734.