GUA MUSANG – Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Gua Musang-Jeli berdekatan Kampung Tool, di sini hari ini terkejut melihat hampir 50 daging babi sejuk beku bergelimpangan atas jalan raya.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7 pagi tadi apabila sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan daging babi sejuk beku itu dipercayai melalui jalan mendap sebelum dinding kiri kenderaan tersebut tiba-tiba tercabut.
Penduduk Kampung Kuala Tool, Muhammad Ikhwan Mahmood, 22, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan pekerja pemotong rumput ketika dalam perjalanan dari Bandar Gua Musang untuk pulang ke rumah kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian.
“Penduduk tidak berani menghampiri lokasi kejadian selepas melihat daging babi.
“Lori itu dipercayai dalam perjalanan dari Tanah Merah menuju ke Kuala Lumpur. Difahamkan pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE