fbpx

BN perlu ubah strategi, kemuka calon sebelum PRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari semasa menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen BN Kelantan di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.

KOTA BHARU – Barisan Nasional (BN) perlu mengubah strategi dengan menjadi lebih berani untuk mengemukakan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal bagi memberi peluang kepada individu tersebut berkhidmat di kawasan tertentu.

Bendahari Agung BN merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kaedah itu sekali gus membolehkan pengundi untuk mengenali lebih dekat calon yang akan mewakili mereka sekiranya menang pada pilihan raya nanti.

Menurutnya, UMNO sebelum ini tidak membuat langkah itu kerana merupakan satu parti yang kuat dan dominan di negara ini.

“Sebelum ini UMNO tidak berbuat demikian (perkenal calon PRU) kerana kita kuat. Apabila kuat, kita boleh menang meskipun pada saat akhir.

“Bagaimanapun, situasi hari ini sudah berubah. Jadi, kita perlu ubah (strategi) kerana ‘mood’ rakyat sudah berbeza berbanding sebelum ini. Apabila pengumuman calon lewat, individu itu tidak dapat berkhidmat awal kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Kelantan di sebuah hotel sini hari ini.

Mengulas lanjut, Johari memberitahu, rakyat pastinya akan memilih calon yang mampu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, beliau mahu UMNO Kelantan melahirkan lebih ramai pemimpin muda untuk diangkat sebagai calon pada PRU akan datang.

Katanya, pemimpin muda itu perlu diberikan tunjuk ajar dan gandingan bersama pemimpin senior untuk berdepan dengan Pas semasa PRU. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI