PETALING JAYA – Sudah berlakon dengan deretan aktres jelita termasuk Nasha Aziz, pelakon Datuk Rosyam Nor mengakui tidak pernah terjerat cinta lokasi malah kekal profesional sebagai aktor.
Ujar Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, dia boleh beraksi dengan sesiapapun namun sentiasa sedar statusnya sebagai suami orang.
“Macam aku berlakon dengan ramai pelakon termasuk Nasha Aziz. Semasa bergandingan dalam filem aku kena jatuh cinta dengan dia tapi luar set, aku kawan dengan dia.
“Bila kita dah letak batas sebagai kawan, kita tengok dia pun tak rasa apa-apa.
“Lagipun, bini aku lawa, kau tak kenal bini aku. Bini aku lagi lawa dari Nasha Aziz,” katanya menerusi audio siar yang dihoskan DJ Nazz.
Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Nasha menerusi filem Laila Isabela sebelum ini, Rosyam mengakui aktres terbabit banyak membantunya dari segi pemilihan pakaian yang sesuai untuk menjayakan watak bagi filem tersebut.
“Masa kami buat filem itu, kami tak ada ‘wardrobe’ tertentu yang dijaga. Nasha lah yang banyak bantu aku, dia suruh aku ajar dia berlakon dan pakaian aku, dia siapkan.
“Dia kan model, dia tahu pasal fesyen. Aku bodoh, anak setinggan mana tahu macam mana nak bergaya.
“Dia yang banyak ajar aku, dia suruh aku beli baju dan dia tolong siapkan pakaian untuk setiap babak. Sebab itu penampilan aku lain dalam filem tersebut. Meletop filem itu,” ujarnya panjang lebar.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan kenyataan Hero Malaya terbabit, selain menyifatkannya sebagai selebriti yang bebas kontroversi melibatkan rumah tangga dan keluarga.
Bukan hanya itu, netizen juga berpendapat keserasian antara Rosyam dan Nasha Aziz sangat sukar digugat mana-mana gandingan pelakon sehingga ke hari ini.
“Mesti bangga isteri Datuk Rosyam ni, pandai dia jaga hati isteri. Bahagian pakaian itu betul, nampak lain penampilan Datuk dalam filem Laila Isabela, tak sangka Nasha Aziz rupanya yang gayakan,” komen netizen itu.
“Bagus datuk, memang dari dulu tak pernah ada gosip. Sayang betul dia dengan isteri. Tapi memang betul gandingan Rosyam dan Nasha memang serasi, gandingan artis sekarang tak boleh lawan mereka,” demikian komen seorang peminat.
“Bila pelakon profesional berlakon memang bagus, tiada istilah sondol menyondol,” komen seorang lagi netizen.
Rosyam mendirikan rumah tangga dengan Datin Runika Mohd Yusof pada tahun 1989, dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan lima cahaya mata. Sepanjang hayat bergekar anak seni, bintang KL Menjerit itu menetapkan pendirian untuk tidak berkongsi gambar atau video bersama isteri dan anak-anaknya dalam mana-mana media cetak mahupun elektronik untuk tujuan publisiti. – KOSMO! ONLINE.