TAHUN 2024 merupakan detik bermakna buat beberapa selebriti tanah air apabila berpeluang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.
Panggilan mengerjakan rukun Islam kelima tersebut merupakan rezeki dan rahmat daripada Pencipta yang tidak mungkin ditolak mana-mana Muslim di dunia.
Mana tidaknya, bayangkan daripada jutaan umat Islam yang mengimpikan peluang tersebut, mereka antara insan terpilih untuk menjadi tetamu Allah.
Sudah lama bergelumang dalam hiruk pikuk dunia hiburan, kini tiba masanya deretan selebriti mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.
Gala minggu ini menampilkan beberapa artis selebriti serta figura terkenal tanah air yang dijemput menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Alyah
Isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli Ms itu juga tidak terkecuali berada dalam senarai Gala minggu ini.
Mana tidaknya, baru memasuki minggu kedua program The Hardest Singing Show, Datin Alyah mengumumkan penarikan diri daripada pertandingan berkenaan selepas mendapat panggilan menunaikan haji.
Dedah pelantun lagu Kisah Hati itu, dia akan berangkat ke Tanah Suci pada 12 Jun ini dan meminta khalayak mendoakan segala urusannya ketika berada di sana dipermudahkan.
Tambah Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan itu lagi, dia bakal menunaikan ibadah haji tanpa ditemani suami tercinta. Ramli tidak dapat ikut serta kerana perlu menjaga ibu yang kurang sihat.
Wan Maimunah
Pelakon veteran, Wan Maimunah menjadi antara jemaah pertama yang berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menyahut panggilan haji. Wan Maimunah atau nama sebenar, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 70, itu berangkat Tanah Suci pada 10 Mei lalu dan berada di sana selama 47 hari.
Seperti bulan jatuh ke riba, seniwati terkenal itu menganggap peluang sedemikian sebagai rezeki dan ketentuan Tuhan yang sangat indah. Dia percaya rezeki mengerjakan haji itu adalah hasil doa yang dipanjatkan ketika menunaikan umrah pada Disember 2022.
Amy Search
Penyanyi rock popular, Datuk Amy Search baru sahaja berangkat menunaikan ibadah bersama isteri tersayang, Norhasliza Hassan pada 6 Jun lalu.
Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abd. Rahman, 66, berharap sekembalinya daripada menunaikan rukun Islam kelima itu, dia berubah menjadi seorang Muslim yang lebih taat perintah agama.
“Umrah saya dah biasa pergi dan untuk haji, saya serahkan seluruh jiwa dan raga saya kepada Allah SWT,” katanya kepada HibGlam.
Terdahulu pada 2019, pelantun lagu Isabela itu tidak dapat menunaikan ibadah haji berikutan gagal mendapat visa.
Katanya, ketika itu rezeki belum memihak dirinya menunaikan haji sekali gus membuatkannya berlapang dada.
Faizal Ismail
Pengacara dan penyampai radio, Faizal Ismail memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga selepas namanya terpilih sebagai salah seorang jemaah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Lebih bermakna, khabar gembira itu sekali gus menamatkan penantiannya selama 15 tahun.
Difahamkan Faizal atau nama sebenarnya Mohd. Faizal Ismail, 48, akan berangkat ke Tanah Suci, Mekah bersama isteri dan anak sulung mereka.
Faizal juga memaklumkan dia dan keluarga baru sahaja selesai menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai salah satu prosedur persediaan sebelum menunaikan ibadah haji. Turut dikenali sebagai Faizal FBI, lelaki yang kini berada di Mekah tidak memperincikan tarikh dia dan keluarga berlepas ke Mekah.