KUALA LANGAT – Kira-kira 15,000 pelajar akan menjadi perintis dalam tujuh program baharu dalam Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bermula bulan depan.
Ini melibatkan bidang kenderaan elektrik (EV); keselamatan siber; kecerdasan buatan (AI); bahan termaju (advanced materials); teknologi elektronik, mekanisasi ladang; dan automasi pertanian dan penternakan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah ini bagi memenuhi keperluan tenaga tempatan contohnya dalam kaedah automasi perladangan dan kita menukarkan nama penoreh dan pengutip buah kelapa sawit sebagai penuai.
“Peruntukkan tambahan RM200 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibahagikan sewajarnya dengan kerjasama rapat institut TVET. Kita harap latihan teknikal daripada peruntukkan ini dapat dilaksanakan bulan depan kerana infrastrukturnya telah tersedia.
“Kita telah menyenaraikan pendek pengambilan pelajar (tujuh program tersebut) dan kita melaksanakan hingga hujung tahun ini. Sekurang-kurangnya 15,000 pelajar akan dilatih bagi tujuh program tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Hari TVET Negara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, di sini hari ini.
Perasmian Hari TVET Negara disempurnakan Anwar yang turut meluncurkan Dasar TVET Negara 2030.
Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) turut mengakui pelajar lelaki menguasai 70 peratus dalam bidang TVET negara.
“Ini berikutan bagi pelajar tahun pertama di universiti adalah 70 peratus pelajar perempuan. Jadi, TVET bukan terkhusus kepada pelajar lelaki namun kita memberikan peluang kepada mereka untuk buat pilihan pertama melalui TVET.
“Yang penting, janji masa depan untuk lulusan TVET dan gaji premium diperjuangkan untuk mereka apabila mencapai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 5,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kajian Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bahawa kurang 40 peratus majikan mengambil lulusan TVET, Ahmad Zahid menegaskan realitinya pemain-pemain industri memerlukan pekerja berkemahiran yang diperoleh daripada TVET.
Ujarnya, MEF berkemungkinan melihat keperluan untuk memperoleh pekerja tidak berkemahiran dan mengikut gaji minimum RM1,500 yang ditentukan kerajaan.
“Soalnya, kita harus memberikan peluang kepada pekerja tempatan dan mereka tentu tidak mahu hanya gaji minimum sekiranya telah melalui kursus TVET.
“Saya sebutkan, libat urus dengan beberapa syarikat luar negara menunjukkan mereka sanggup memberikan gaji minimum AS$1,000 atau lebih RM4,000.
“Kita telah melakukan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan syarikat berkenaan dan latihan dibuat ikut keperluan syarikat dan kilang brkenaan. Jadi, tidak berlaku ‘mismatch’ dari segi latihan dan peluang pekerjaan,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE