fbpx

‘Tunggu 22 tahun dapat anak bongsu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dimuat naik oleh Rostalela di laman TikToknya, baru-baru ini.

PETALING JAYA – “Allah SWT permudahkan urusan saya sejak hamil hingga berpantang. Tidak sangka pada usia lanjut, saya boleh melahirkan bayi perempuan yang sihat walafiat,”

Begitulah kata Rostalela Sidi Ahmad, 50, ketika dihubungi wartawan Kosmo! setelah videonya di laman TikTok tular sehingga mendapat lebih 268,000 tontonan, 5,000 tanda suka dan hampir 900 komen.

Menurut Rostalela yang lebih mesra disapa sebagai Lela, dia selamat melahirkan cahaya matanya pada 20 April lalu dan kini sudah hampir habis berpantang.

Katanya, kehamilan tersebut merupakan sesuatu yang tidak disangka-sangka dan sangat dinanti-nantikan oleh dirinya dan juga suami yang kini berusia 53 tahun.

“Sudah 22 tahun saya menanti kehadiran cahaya mata ini. Selepas kali terakhir bersalin anak kedua pada 22 tahun lalu. Pada awalnya, saya ingat dapat anak lelaki. Selepas beberapa bulan, doktor cakap anak saya perempuan,” katanya.

Lela berkata, anak-anak juga sangat gembira dan banyak membantu dengan membelikan barang-barang keperluan asas untuknya.

Malah, keterujaan tersebut turut dikongsi bersama petugas-petugas hospital yang kebanyakannya tidak lokek membantu dan memberi semangat kepanjang proses kehamilan.

“Anak-anak semua teruja. Mereka semua belikan baju warna biru sebab ingatkan anak lelaki. Malah, doktor di hospital juga tumpang gembira sehingga ramai beri semangat kepada saya.

“Selepas melahirkan anak, saya terus tanya doktor apa jantina anak saya. Doktor beritahu saya, anak saya perempuan. Alhamdulillah saya bersyukur.

“Tetapi itulah, barang-barang semuanya sudah beli wana biru,” katanya.

Tambah Lela, sejak tularnya video tersebut, ramai orang bertindak menghantar mesej kepadanya di laman TikTok untuk meminta tip-tip memudahkan kehamilan, terutamanya daripada wanita berusia 40 tahun ke atas.

“Saya tidak ada tip istimewa. Cuma sepanjang kehamilan, saya menjaga pemakanan saya.

“Saya banyak makan buah, ulam-ulaman dan kurangkan gula dalam makanan. Segala ubat yang dibekalkan oleh klinik saya ambil ikut jadual.

“Syukur, sepanjang kehamilan saya tidak alami sebarang komplikasi. Cuma pada akhirnya saya minta agar melahirkan anak secara pembedahan kerana alami kesukaran sewaktu ingin melahirkan anak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI