fbpx

Tiga soalan penting untuk diagnosis migrain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIGRAIN lebih mudah menyerang golongan wanita berbanding lelaki. – Gambar hiasan

ADA antara kita pasti pernah berhadapan dengan masalah migrain yang kadangkala memberi rasa sakit kepala luar biasa.

Migrain merupakan salah satu penyebab sakit kepala yang sering disalah erti dan dipandang remeh serta selalu dianggap sebagai sakit biasa.

Namun begitu, mereka yang mengalami penyakit ini tahu bahawa kesannya adalah lebih buruk daripada itu.

Ini kerana, ia melibatkan kesakitan luar biasa, hipersensitiviti kepada persekitaran dan gejala merunsingkan.

Dalam beberapa kes yang teruk, ia turut menjejaskan produktiviti kerja dan kualiti hidup.

Pakar Perunding Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Julia Shahnaz Merican berkata, migrain adalah gangguan kompleks yang menyebabkan sakit kepala berdenyut secara berulang.

Menurut Dr. Julia, selalunya ia tidak terlalu teruk dengan disertai pelbagai gejala sampingan.

Menurutnya, gejala sampingan seperti loya, muntah-muntah, pening, sensitiviti kepada cahaya (fotofobia) dan sensitiviti kepada bunyi bising (fonofobia).

“Sakit kepala ini biasanya akan bertambah teruk apabila berlaku pergerakan atau aktiviti.

“Ini menyebabkan pesakit mengelak daripada melakukan sebarang aktiviti fizikal harian.

“Salah satu faktor risiko utama migrain adalah sejarah keluarga yang menghidap penyakit itu.

“Wanita didapati lebih mudah untuk menghidap migrain berbanding lelaki.

“Migrain juga sering berlaku dalam kalangan individu remaja sehingga berusia 50 tahun,” katanya.

Tambahnya, remaja terutamanya selepas akil baligh mungkin mengalami sakit kepala yang lebih teruk, termasuk migrain ketika haid.

Dalam beberapa kes, kanak-kanak seawal usia lima tahun ke atas mungkin mula mengalami sakit abdomen yang tidak diketahui puncanya.

Ia juga dikenali sebagai migrain abdomen dan mereka hanya mula mengalami migrain biasa akil baligh atau awal dewasa.

Migrain muncul sebagai sakit kepala berdenyut sederhana sehingga teruk dan berlanjutan selama sekurang-kurangnya empat hingga 72 jam.

Migrain merupakan sakit kepala berdenyut tahap sederhana sehingga teruk.

Bertentangan dengan kepercayaan umum, sakit kepala ini tidak semestinya berlaku pada sebelah kepala sahaja.

Sebenarnya, ia boleh menjejaskan bahagian belakang kepala dan leher atau sekitar bahagian mata.

Mengulas lanjut, Dr. Julia berkata, penggunaan kaedah penyaringan segera seperti ‘ID Migraine’ yang terdiri daripada tiga soalan mudah, boleh digunakan untuk mendiagnosis migrain dengan kadar ketepatan sehingga hampir 80 peratus.

Terangnya, jika seseorang individu itu menjawab ‘YA’ kepada dua daripada tiga soalan berikut, mereka mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk didiagnosis sebagai menghidap migrain.

“Soalannya, adakah anda pernah mengalami sakit kepala sehingga menghalang anda melakukan aktiviti selama satu hari atau lebih dalam tempoh tiga bulan lalu?

“Adakah anda berasa loya atau sakit perut apabila mengalami sakit kepala?

“Adakah cahaya mengganggu anda apabila mengalami sakit kepala?” katanya.

Tambahnya, setiap orang yang menghidap migrain perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan pemahaman, walaupun kebanyakan orang perlu mengambil ubat.

“Namun begitu, peranan mereka dalam mengurus kesihatan dan gaya hidup sendiri boleh memberikan impak yang signifikan kepada kesihatan,” katanya.

DR. JULIA

Merekod atau mencatatkan serangan migrain menggunakan diari membolehkan ramai penghidap memahami dengan lebih baik corak dan kekerapan mereka mengalami sakit kepala dalam sebulan.Ini membolehkan mereka mengenal pasti pencetus migrain yang mereka tidak ketahui.

Setiap individu akan dapat mengenal pasti pencetus yang berbeza.

Biasanya, ia dikenali sebagai perubahan dalam rutin harian, tidur yang tidak mencukupi, cuaca panas, perjalanan, haid dan tekanan.

Dr. Julia berkata, dengan mengelak pencetus tertentu, ia mungkin dapat mengurangkan kekerapan sakit kepala.

“Adalah penting untuk seseorang itu merekodkan bilangan hari serangan migrain dalam sebulan supaya doktor boleh memberikan nasihat mengenai strategi rawatan,” jelasnya.

Selain itu, tindakan mencatatkan hari pengambilan ubat adalah penting bagi mengelakkan sakit kepala akibat pengambilan ubat berlebihan.

Dr. Julia turut berkongsi, pengamal perubatan am memainkan peranan penting dalam menangani keperluan khusus pesakit seperti rawatan akut, dan merujuk mereka kepada pakar neurologi jika rawatan tidak berjaya.

Selain itu, mereka disyorkan membuat perundingan dan penyiasatan segera apabila serangan sakit kepala terlalu kerap berlaku tanpa sebab yang jelas atau jika terdapat sebarang perubahan sifat sakit kepala.

“Pakar neurologi boleh mendiagnosis punca sakit kepala secara tepat menerusi sejarah gejala dan pemeriksaan fizikal.

“Terdapat ramai orang yang bertemu dengan doktor bagi mendapatkan bantuan untuk sakit kepala mereka disebabkan oleh migrain.

“Walaupun tidak mengancam nyawa, tetapi migrain boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang,” katanya.

Selain itu, pakar neurologi menyediakan maklumat dan sumber yang relevan untuk migrain.

Ini kerana, ada banyak jenis atau varian migrain yang perlu dijelaskan.

Penyiasatan seperti CT (tomografi berkomputer) atau MRI (Pengimejan Resonans Magnetik), imbasan otak dan ujian darah hanya diperlukan apabila disyaki terdapat punca sekunder.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI