fbpx

Simpan, jual gas tanpa lesen di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai KPDN memeriksa tong LPG yang ditemui di sebuah rumah di Langkap, Teluk Intan semalam. - Foto KPDN

TELUK INTAN – Tindakan menyimpan dan berurus niaga gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen di kediaman mengundang padah terhadap seorang lelaki apabila rumahnya di Langkap di sini diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi pemeriksaan yang dilakukan pukul 11.50 pagi itu adalah hasil maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan barang kawalan LPG tanpa lesen di premis itu.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, ditemui sejumlah barang kawalan yang disyaki LPG disimpan di ruangan khas di dalam premis kediaman tersebut.

“Seorang lelaki warga tempatan berumur 58 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis kediaman itu memaklumkan bahawa barang kawalan disyaki LPG yang ditemui adalah untuk dijual kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pemilik kediaman tersebut gagal untuk mengemukakan sebarang permit, lesen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki barang kawalan disyaki gas petroleum cecair yang ditemui di premisnya.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata, tindakan kes telah dilaksanakan dengan menyita sebanyak 37 tong yang berisi LPG berjenama dan 33 tong kosong berjenama dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM6,550.

“Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual (LPG) tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut beliau, perseorangan atau individu selain daripada badan korporat tetapi tidak termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun dipenjara atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Manakala bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

“Siasatan lanjut juga akan dilaksanakan ke atas syarikat pemborong barang kawalan LPG ini kerana kesalahan menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI