NEW YORK – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB), Antonio Guterres hari ini mengutuk keras serangan tentera Myanmar baru-baru ini yang membunuh berpuluh-puluh orang awam di negeri Rakhine dan rantau Sagain.
Rakhine terletak di barat Myanmar, manakala Sagain berada di utara negara itu.
“Setiausaha Agung PBB mengutuk keras serangan baru-baru ini oleh tentera Myanmar yang dilaporkan membunuh puluhan penduduk awam termasuk di negeri Rakhine,” kata Stephane Dujarric yang merupakan jurucakap Guterres dalam satu kenyataan.
Pertempuran menggegarkan Rakhine sejak Tentera Arakan(AA) menyerang tentera junta pada November tahun lalu sekali gus menamatkan gencatan senjata yang berkuatkuasa sejak junta merampas kuasa pada 2021.
AA berjuang untuk mendapatkan lebih banyak kuasa autonomi untuk populasi etnik Rakhine di negeri itu. Kira-kira 600,000 etnik minoriti Islam Rohingya menetap di Rakhine.
Pada minggu ini, AA menyatakan bahawa tentera junta membunuh lebih 70 penduduk awam dalam serangan ke atas Kampung Byain Phyu di utara ibu negeri Rakhine, Sittwe.
Junta Myanmar bagaimanapun berkata, dakwaan AA itu adalah satu ‘propaganda’. – AGENSI