KUALA LUMPUR – Bersempena sambutan ulang tahun ke-30, syarikat perkhidmatan pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd. (IWK) menawarkan program pemerkasaan ilmu berkaitan kelestarian alam sekitar kepada generasi belia.
Pengerusinya, Ahmad Johnie Zawawi berkata, sempena sambutan 30 tahun ini juga, IWK telah merancang beberapa program dengan harapan memberi impak besar kepada masyarakat dan salah satunya ialah program Perantis IWK.
“Program ini menawarkan pengalaman pembelajaran unik bagi membina pembangunan insaniah khusus untuk graduan-graduan muda tempatan.
“Jadi kepada anak-anak muda atau ada antara hadirin yang mempunyai anak lepasan universiti, bolehlah menyertai program percuma yang akan dijalankan pada Julai ini,” katanya pada majlis ulang tahun IWK ke-30 baru-baru ini.
Program Perantis IWK ditawarkan khusus kepada pelajar sarjana muda dan siswazah tahun akhir berusia 18 tahun ke atas yang berminat dengan kelestarian alam sekitar serta pembangunan insaniah.
Inisiatif ini bukan sahaja menawarkan pengalaman pembelajaran yang unik tentang kelestarian alam tetapi juga berfungsi sebagai satu platform untuk membina kemahiran komunikasi, memupuk keupayaan memimpin dan mencipta kempen media sosial.
Bagi menjayakan program Perantis IWK, syarikat telah menjalin kerjasama dengan NK Communications, syarikat latihan dan pembangunan komunikasi yang diketuai oleh Natalie Kniese.
Peserta program akan melibatkan diri dalam kurikulum yang menggabungkan aspek pengetahuan teori dan pengalaman praktikal.
Selain daripada latihan kemahiran insaniah yang komprehensif, program ini turut dikendalikan golongan profesional yang berpengalaman serta akan dijalankan di fasiliti IWK.
Selain itu, peserta akan menjalani penilaian oleh panel yang terdiri daripada para jurulatih dan wakil dari IWK.
Mereka akan bersaing bagi merebut tiga peluang untuk memenangi hadiah wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang, serta peluang pekerjaan atau latihan industri di IWK.
Bagi yang berminat, boleh mengisi borang permohonan secara dalam talian sebelum 20 Jun 2024 melalui pautan https://forms.gle/Q94uGNZHCV7zmebi6.
Peserta terpilih akan dimaklumkan melalui e-mel dan program akan dijalankan bermula 13 Julai 2024, manakala senarai pemenang akan diumumkan pada 21 Julai 2024. -KOSMO! ONLINE