PETALING JAYA – Peoplelogy Group melalui jenamanya Build A Future Team telah melancarkan mesyuarat agung tahunan (AGM) sulungnya yang menemukan ahli-ahli lembaga jawatankuasa yang dilantik di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Peoplelogy, Cally Yau, mesyuarat tersebut bertujuan untuk melakar hala tuju masa depan dan kecemerlangan HR serta pembangunan tenaga kerja.
“Kami menyediakan platform untuk pemimpin bertukar fikiran dan mengeluarkan idea pemikiran bersama pakar industri serta berkongsi pandangan tentang hala tuju strategik yang inovatif.
“Sempena AGM ini, Build A Future Team mengeluarkan kertas putih pertama yang menyediakan analisis mendalam tentang trend tenaga kerja, cabaran dan penyelesaian di seluruh Asia Tenggara.
“Analisis ini adalah berdasarkan Persidangan HR pada tahun lepas yang berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura,” katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.
Yau menerangkan, kertas kerja ini menawarkan penyelesaian campur tangan daripada pihak berwajib untuk membangunkan program latihan bagi peningkatan kemahiran pekerja.
Ia juga bakal mewujudkan tenaga kerja yang lebih berdaya tahan pada masa depan.
Katanya, syarikat menyasarkan 10 juta penyertaan daripada pelanggan untuk menyertai program pembangunan yang dianjurkan dalam jangka masa tiga hingga lima tahun.
“Kami juga akan terus melakukan inovasi dalam sistem yang ditawarkan supaya perkhidmatan kami tidak ketinggalan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE