PUTRAJAYA – Pemaju hartanah harus mematuhi standard dan amalan terbaik antarabangsa dengan penggunaan teknologi yang canggih dan terkini dalam sektor pembinaan bagi menarik minat pembeli tempatan mahu pun antarabangsa.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, selain itu, kriteria reka bentuk perumahan juga perlu mengambil kira aspek kemampanan dan elemen kelestarian dengan menggunakan bahan binaan yang lebih mesra alam dan cekap tenaga.
Jelasnya, ia bertujuan mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar dan seterusnya memberi sumbangan positif kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan.
“Kita juga harus memperhebatkan lagi integrasi teknologi rumah pintar dan ruang hijau yang mampu menawarkan keselesaan dan kelestarian gaya hidup rakyat.
“Pelan pembangunan perumahan yang berpusatkan komuniti perlu disediakan bagi memupuk ‘sense of belonging’ dan kesejahteraan hidup secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kecemerlangan Pemaju Hartanah sempena FIABCI World d’Excllence Awards World Gold Winners di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE