fbpx

Misi besar Norcy majukan ekonomi komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORCY (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

BERMULA sebagai peniaga kecil-kecilan produk kosmetik dengan bermodalkan RM200 pada tahun 2017, kini wanita berketurunan Rungus itu menjadi antara usahawan wanita muda berjaya di Sabah.

Menurut Norsiah Ahiddin, dia kini mempunyai produk kosmetik dan memiliki bangunan makmal memproses sendiri di Matunggong, Kudat yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sejak 2019.

Norsiah atau lebih mesra disapa Norcy berkata, dia mempunyai impian bukan sahaja menjadi usahawan berjaya, tetapi ingin mengubah kehidupan keluarga dan diri sendiri.

“Sebab itu sebelum memulakan perniagaan, saya mengikuti kursus Tunas Usahawan Bumiputera (Tube) anjuran Smecorp Malaysia untuk mempelajari selok-belok perniagaan.

“Saya sertai kerana sedar diri tiada ilmu dan seluruh keluarga saya tidak pernah didedahkan dengan perniagaan,” katanya.

Jelas Norcy, selepas mengikuti beberapa kursus keusahawanan, dia akhirnya berjaya membuka sebuah kilang produk kecantikan sendiri pada 2019.

“Selain mengusahakan kilang produk kecantikan Norcy Beautylab, saya akan melebarkan sayap dengan menambah cabang perniagaan kedai barang kemas, Norcy Gold & Jewels di Kota Kinabalu pada tahun ini,” katanya.

Menyorot kembali, Norcy yang berkelulusan Sarjana Muda Sains Makmal Klinikal dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai juruteknologi makmal perubatan selama beberapa tahun sebelum beralih ke dunia perniagaan.

“Saya mengambil keputusan berhenti kerja dan mula berkecimpung dalam dunia perniagaan kerana mahu mengubah kehidupan serta nasib keluarga saya.

“Sebelum ini, ‘mindset’ keluarga saya tertumpu kepada kerja ‘makan gaji’ sahaja kerana ia menjamin masa depan.

“Namun, saya mahu mengubah pemikiran mereka bahawa berniaga juga boleh mendatangkan kejayaan jika berada di landasan betul,” katanya.

Norcy berjaya memiliki sebuah kilang produk kecantikan sendiri pada 2019.

Norcy berkata, dia juga mempunyai matlamat untuk memajukan ekonomi di kawasan Matunggong serta menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih ramai belia di kawasan itu.

“Saya mempunyai semangat yang kuat untuk membantu memajukan kawasan Matunggong.

“Saya yakin melalui perniagaan, saya dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan.

“Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Penerima Anugerah Usahawan Sabah dan Anugerah Usahawan 100 ‘Most Outstanding Entrepreneur Sabah’ anjuran Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah pada 2019 itu berkata, dia juga tidak terlepas daripada cabaran dalam perniagaan.

“Cabaran paling besar dalam perniagaan adalah meyakinkan pelanggan dengan produk kita kerana persaingan terlalu kuat dan pelanggan mempunyai banyak pilihan.

“Bagaimanapun, semua cabaran itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus maju.

“Sebaliknya, ia memberikan motivasi kepada saya supaya kekal berdaya saing dan konsisten dalam perniagaan.

“Saya jadikan semua cabaran itu sebagai pendorong untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan dari semasa ke semasa untuk meyakinkan pelanggan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI