fbpx

Media Mulia rangkul tiga anugerah Hadiah Kewartawanan MPI-Petronas 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jurufoto, Shiddieqiin Zon (kiri), wartawan kanan, Ku Muhamad Syafiq Ku Mohd Fozi (tengah) dan Pereka Grafik, Mohamad Sany Misnan (kanan) dari Utusan Malaysia yang berjaya merangkul tiga anugerah Hadiah Kewartawanan MPI-Petronas 2023 pada Malam Wartawan Malaysia 2023 di Hotel Majestic Kuala Lumpur, malam ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi akhbar terbitannya, Utusan Malaysia berjaya merangkul tiga anugerah utama sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023 di sini malam ini.

Pereka Grafik Utusan Malaysia, Mohamad Sany Misnan berjaya memenangi Kategori Infografik Terbaik bertajuk ‘Potensi Sungai Batu Pahat’ sebagai pemenang emas, yang membawa pulang RM10,000, trofi serta sijil.

Sementara itu, jurufoto Utusan Malaysia, Shiddieqiin Zon pula dinobatkan sebagai pemenang emas bagi Kategori Kewartawanan Foto Cemerlang apabila gambarnya bertajuk ‘Keadaan Stadium Nasional Bukit Jalil’ terpilih dan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta sijil dan trofi.

Dalam pada itu, wartawan kanan Utusan Malaysia, Ku Muhamad Syafiq Ku Mohd Fozi dinobatkan sebagai pemenang perak bagi Kategori Penulisan Kolum Terbaik menerusi tiga penulisannya bertajuk ‘Menjentik lagu pop cinta bebal’, ‘Meneroka keunggulan pop 80-an’ dan ‘Yang biasa dan yang bermakna’, membawa pulang RM3,000, trofi dan sijil.

Menurut Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong, jumlah penyertaan tahun ini meningkat sebanyak 21 peratus iaitu sebanyak 488 penyertaan bagi 23 kategori dipertandingkan berbanding tahun sebelumnya.

“Ini adalah satu gambaran bahawa wartawan lebih mengambil berat tentang mutu karya mereka, bangga dengan keupayaan mereka serta memaparkan hasil karya terbaik untuk dipertandingkan.

“Setahu saya kebanyakan wartawan ini menulis bukan semata-mata untuk melihat nama mereka tetapi mereka didorong oleh semangat jati diri untuk memberi gambaran sebenar, pendedahan atau penjelasan kepada sesuatu isu yang penting di dalam negara demi kebaikan masyarakat Malaysia,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap agar laporan penyiasatan mengenai rasuah, amalan buruk, ketirisan wang atau ketidakcekapan di dalam negara akan diberi lebih perhatian oleh pihak yang telah dipertanggungjawabkan bagi membanteras segala gejala buruk tersebut.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering mengingatkan kita betapa pentingnya mengamalkan tadbir urus yang telus dan teratur untuk menjadikan Malaysia lebih dinamik dan progresif.

“Pengamal media juga bersama beliau dalam pendirian ini dan boleh dikatakan bersemangat bagai menggenggam bara api biar sampai jadi arang dengan beliau dalam perkara ini,” katanya.

Seramai 118 pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023 diiktiraf dan diraikan dalam majlis gilang-gemilang Malam Wartawan Malaysia 2024, di sini malam ini.

Dalam anugerah ini, pemenang emas membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi dan sijil, manakala pemenang perak dan gangsa masing-masing menerima RM3,000 dan RM 2,000 serta sijil. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI