fbpx

KPDN respons isu berbangkit penyasaran subsidi diesel dalam masa 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARMIZAN (empat dari kiri) merasmikan Talian Aduan Ops Kesan 2.0 pada Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberi respons atau maklum balas dalam tempoh 24 jam terhadap segala isu berbangkit selepas kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, seterusnya, anggota penguat kuasa KPDN akan turun ke lapangan untuk membuat siasatan dan mengeluarkan notis kepada pihak yang didapati menyalah guna subsidi diesel.

Menurut, pihak yang terlibat sama ada pemilik stesen minyak atau individu perlu menjawab notis tersebut dalam tempoh enam hari.

“Aduan yang akan diambil tindakan segera melibatkan caj, harga dan bekalan diesel selepas penyasaran subsidi bahan api itu dilaksanakan. Ia merupakan sebahagian daripada penambahbaikan oleh kerajaan menerusi Ops Kesan 2.0.

“Selain itu, KPDN sudah melanjutkan waktu pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasaan bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam setiap hari agar siasatan segera dapat dilakukan terhadap aduan yang diterima berhubung pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) termasuk aduan kenaikan harga dan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan memberitahu, KPDN telah proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan bermula pada 2 Mei lalu.

Menurutnya, data harga dan caj itu dijadikan asas perbandingan bagi perkhidmatan sama sebelum dan selepas penyasaran subsidi diesel dilaksanakan.

“Pasukan tugas khas di peringkat ibu pejabat ditubuhkan bagi menyelaras dan menyelesaikan isu-isu yang timbul daripada pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel. Ia membuktikan kerajaan serius dalam memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi tidak memberikan kesan kepada pengguna.

“KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Mei bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel dengan jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel itu hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, hal ini kerana, hampir setiap keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel bagi kenderaan untuk kegunaan harian mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI