BALIK PULAU – Kementerian Kesihatan (KKM) komited melahirkan sebanyak lapan pakar geriatrik di hospital awam setiap tahun sebagai persediaan awal Malaysia menjadi negara menua.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pada masa ini kerjaya sebagai pakar geriatrik kurang mendapat tempat di negara ini.
Menurutnya, setakat ini hanya sebuah universiti iaitu Universiti Malaya (UM) yang menawarkan program berkaitan pakar geriatrik dengan tiga hingga lapan pelajar sahaja setahun.
“Jadi ke arah satu masyarakat menua, sekurang-kurangnya kita harapkan penambahan paling tidak lapan pakar geriatrik setahun.
“Susah untuk kita tarik minat pelajar untuk mempelajari bidang ini, kita akan bincang dengan program-program sarjana perubatan untuk tingkatkan lagi jumlah pakar geriatrik.
“Itu komitmen KKM, paling tidak pun kita ada perjawatan lapan pakar setahun, namun kita gembira kalau dapat isi perjawatan lima pakar geriatrik setahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih, di sini hari ini.
Menurut Dzulkefly, setakat ini di peringkat KKM terdapat 33 pakar geriatrik, 13 pakar geriatrik di hospital di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, manakala di hospital swasta terdapat 14 pakar geriatrik. – KOSMO! ONLINE