fbpx

Kecuaian perubatan: Keluarga bekas CEO Prolintas peroleh RM5.1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keluarga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), Allahyarham Datuk Zainudin A. Kadir memperoleh ganti rugi RM5.1 juta selepas Mahkamah Tinggi di sini memutuskan sebuah pusat perubatan dan dua doktor pakarnya cuai ketika menjalankan tugas.

Menurut penghakiman bertarikh 3 Mei lalu, Hakim Datuk Mohd. Arief Emran Arifin menyatakan kecederaan atau kerosakan yang disebabkan oleh kesemua defendan dalam satu rantaian telah memberikan kesan buruk.

“Dalam kes ini, saya mendapati tindakan yang dibuat setiap defendan berkait rapat antara satu sama lain sehingga menyebabkan kerosakan atau kerugian yang ditanggung oleh plaintif (keluarga Allahyarham) adalah disebabkan oleh salah laku defendan.

“Kerosakan tidak akan berlaku sekiranya bukan akibat tindakan defendan (tortious conduct),” kata hakim itu.

Kes itu membabitkan pentadbir harta Zainudin iaitu isterinya, Datin Nor Rizam Abdul Wahad terhadap sebuat pusat perubatan swasta (defendan pertama), pakar bedah telinga, hidung dan tekak (defendan kedua) dan pakar bius (defendan ketiga).

Menurut fakta kes, Zainudin dimasukkan ke hospital pada 22 Februari 2016 selepas mengadu mengalami vertigo, demam dan selesema.

Beliau kemudiannya dijadualkan untuk menjalani pembedahan sinus endoskopik fungsi dua hala dengan septoplasti dan turbinoplasti empat hari kemudian.

Pembedahan bermula pada 5.45 petang dan berakhir 8.05 malam.

Rekod menunjukkan tiada kejadian tidak diingini semasa pembedahan, namun keadaannya menjadi teruk pada pukul 9.30 malam.

Berdasarkan keterangan, Zainudin dipindahkan dari wad pemantauan ke wad beliau kira-kira 25 minit selepas pembedahan sedangkan mangsa seharusnya diletakkan bawah pemerhatian sekurang-kurangnya sejam.

Pada 9.30 malam, Zainudin tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas sehingga kulitnya bertukar biru.

Defendan kedua cuba menyelamatkan mangsa dengan memasukkan tiub, namun ia dimasukkan ke dalam saluran yang salah iaitu esofagos bukannya trakea.

Mangsa pada ketika itu juga tidak disambungkan kepada saluran oksigen kerana pengatur oksigen dalam bilik pesakit tiada.

Zainudin kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi, namun pada ketika itu telah menunjukkan tanda-tanda kerosakan otak akibat kekurangan oksigen.

Mangsa telah dibenarkan keluar pada 11 April 2016 sebelum meninggal dunia di rumahnya.

Antara ganti rugi yang diberikan mahkamah ialah ganti rugi kehilangan pendapatan sebanyak RM4.09 juta, ganti rugi am bagi kesakitan dan kesengsaraan (RM500,000) dan kos pembantu rumah (yang diambil selepas insiden) dan penjaga Zainuddin sebanyak RM269,500.

“Merujuk kepada ganti rugi akibat kehilangan pendapatan, saya mendapati ada bukti yang menunjukkan Allahyarham seorang yang sihat semasa hayatnya dan memegang jawatan tinggi dalam PNB (Permodalan Nasional Berhad). Isterinya menunjukkan surat pelantikan beliau dengan gaji bulanan RM65,000 ketika kejadian.

“Bukti menunjukkan Allahyarham bekerja tetap, menerima pendapatan bulanan dan berkemungkinan akan meneruskan kerjayanya. Beliau berada dalam kontrak dengan PNB dan dijangka akan meneruskan kontraknya sehingga tamat,” kata Hakim Mohd. Arief.

Berdasarkan keterangan, Zainudin masih mempunyai bagi kontrak sebanyak 63 bulan dengan PNB.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua defendan untuk membayar kos sebanyak RM210,000 kepada keluarga Allahyarham. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI