KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tersekat di suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2024 selepas tumpas ketika berdepan juara dunia 2023, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, hari ini.
Pada aksi di Istora Senayan, Zii Jia yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dilihat memulakan aksi dengan cukup baik namun gagal untuk mengatasi kebangkitan lawan dari Thailand tersebut sebelum tumpas 16-21, 17-21 dalam tempoh 52 minit.
Kekalahan Zii Jia menyaksikan pemain ranking No. 8 dunia, Kunlavut kembali mengikat rekod kemenangan 4-4 selepas melakukan lapan pertemuan sebelum ini.
“Dia (Kunlavut) bermain dengan cukup baik hari ini dan pertahanan dia juga sangat bagus. Apapun, saya tak puas hati sangat (keputusan) tetapi kena terima keputusan yang saya capai hari ini,” katanya kepada BWF sejurus tamat perlawanan.
Hasil keputusan itu menyaksikan tiada wakil perseorangan negara mara ke pentas separuh akhir kejohanan berstatus Super 1000 tersebut selepas seorang lagi pemain berbakat negara, Leong Jun Hao turut terkandas di suku akhir hari ini. – KOSMO! ONLINE