PETALING JAYA – Tular satu mesej seekor harimau kumbang jantan memasuki perangkap di Taman Suria di Tampin, Negeri Sembilan sejak tengah malam tadi.
Menurut perkongsian mesej itu, binatang buas seberat 40 kilogram (kg) terbabit berjaya ditangkap dengan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penduduk setempat.
Mereka menggunakan umpan anak kambing dan harimau kumbang tersebut berjaya ditangkap pada pukul 12 tengah malam tadi.
Difahamkan, usaha pihak berkuasa menangkap haiwan itu membuahkan hasil selepas percubaan pertama dan kedua yang menggunakan umpan anak kucing dan anak anjing tidak berjaya.
Pada 22 Mei Kosmo! melaporkan seekor harimau kumbang dirakam sedang melintas jalan di kawasan Seri Menanti-Kampung Parit, Kuala Pilah sehingga tular dalam media sosial.
Difahamkan, kejadian itu bukan kali pertama dilaporkan dan penduduk dinasihatkan agar tidak panik apabila terserempak dengan haiwan tersebut.
Perhilitan menerima aduan pada 19 Mei lalu dan kakitangan Unit Konservasi Daerah Jempol dan Seremban digerakkan ke lokasi tersebut untuk menjalankan siasatan.
Harimau kumbang itu dipercayai datang dari kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Angsi berdekatan dan melalui kawasan tersebut (pada hari kejadian) sebelum masuk semula ke hutan berkenaan.
Terdapat lorong yang laluan utama hidupan liar untuk melintas jalan ke hutan di seberang jalan.
HSK terletak kira-kita satu kilometer (km) dari Royal Seri Menanti Golf & Country Club. Jarak perangkap harimau kumbang terhampir adalah 2 km dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE.