PEMAIN perseorangan ketiga negara, Leong Jun Hao terus mengganas di Terbuka Indonesia selepas melakukan kejutan menumbangkan lawan di ranking ke-11 dunia, Chou Tien Chen sekali gus memastikan slot ke suku akhir menjadi miliknya.
Kemenangan ke atas bintang tuan rumah, Jonatan Christie di Istora Senayan, Jakarta kelmarin ternyata melonjakkan semangat Jun Hao kerana sekali lagi menunjukkan kemampuannya menerusi kemenangan 18-21, 21-13, 21-17 dalam tempoh satu jam tujuh minit ke atas jaguh Taiwan tersebut.
Bagaimanapun, Jun Hao yang berada di ranking ke-32 dunia perlu melakukan persiapan lebih baik kerana menantinya di suku akhir nanti adalah pemain pilihan keenam dari China, Li Shi Feng.
“Shi Feng adalah pesaing yang kuat dan berpengalaman. Saya tahu dia akan kembali lebih kuat di set ketiga dan saya fikir hanya kejar mata demi mata. Sudah pasti perasaan saya benar-benar hebat bila menjuarai perlawanan ini,” katanya kepada BWF semalam.
Nasib berbeza menimpa Aaron Chia-Soh Wooi apabila beregu No.5 dunia tersebut tewas straight-set di pusingan kedua kepada pasangan ke-25 dunia dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 16-21, 14-21 dalam tempoh 38 minit.
Pastinya, kekalahan di tangan beregu yang berada di ranking lebih bawah memberi kesan kepada Aaron-Wooi Yik kerana mereka adalah prospek pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.
“Keadaan kami tidak berapa baik, jadi perlu fokus kepada latihan dan lawan juga bermain lebih baik. Secara keseluruhan, kami perlu perbaiki lagi dan cari semula keyakinan serta permainan terbaik kami dalam latihan selepas ini.
“Ya (inginkan kilauan pingat lebih baik daripada gangsa di Paris 2024) tetapi kami perlu fokus satu demi satu dalam latihan serta perbaiki lagi corak permainan kami,” kata Wooi Yik kepada BWF semalam.
Terbuka Indonesia adalah kejohanan terakhir disertai Aaron-Wooi Yik dan selepas ini gandingan juara dunia 2022 itu dijadualkan menyertai kem latihan pusat sebelum beraksi di Paris 2024 dari 27 Julai hingga 5 Ogos ini.