POLAND tidak berdepan laluan mudah untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Euro 2024 apabila mereka terpaksa mengharungi aksi playoff bagi mendapatkan tempat dalam kejohanan tersebut.
Kesukaran dihadapi pastinya menjadi pembakar semangat buat skuad kendalian Michal Probierz itu untuk sekurang-kurangnya melakar kejutan, lebih-lebih lagi berada dalam Kumpulan D bersama Belanda, Austria dan Perancis.
Poland juga dilihat memiliki pasukan yang cukup seimbang di semua posisi apabila bakal mempertaruhkan penyerang Barcelona, Robert Lewandowski di bahagian serangan, Wojciech Szczesny (penjaga gol) dan Piotr Zielinski (tengah).
Walaupun ramai menganggap mereka berada dalam kumpulan sukar, namun masih ada sebahagian besar pemerhati menyifatkan Poland tetap memiliki peluang cerah untuk melangkah ke pusingan kalah mati.
Probierz berharap pemain-pemain yang terpilih ke kejohanan empat tahun sekali itu bersedia untuk memberikan segala-galanya kerana mereka boleh diibaratkan melangkah masuk ke medan perang.
“Saya harap kesemua pemain yang dibawa ke Euro nanti mampu beraksi dengan penuh bangga kerana menggalas harapan seluruh rakyat Poland. Kepada yang tidak terpilih, sokongan anda kepada pasukan sangat diharapkan.
“Kami semua sedar Poland berada dalam kumpulan sukar, namun itu bukannya alasan untuk kami tidak cuba memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain. Apabila masuk ke padang, ia akan menjadi cerita berbeza,” katanya.
Meskipun mereka tidak banyak melangkah ke pusingan kalah mati, namun Poland boleh dianggap antara pasukan konsisten apabila berjaya melayakkan diri ke tujuh kejohanan utama secara berturut-turut termasuk Piala Dunia.
Keadaan itu sudah dapat membuktikan bahawa mereka memiliki kemampuan untuk melakar kejutan ke atas pasukan-pasukan besar lain biarpun sentiasa berdepan dengan aksi sukar dalam setiap perlawanan.
“Jangan pernah ragu dengan kemampuan diri kerana setiap pasukan yang layak ke pusingan akhir Euro 2024 boleh dianggap setara. Semuanya akan bermula dari kosong, jadi kami tetap ada peluang,” ujar Probierz.
Poland akan memulakan aksi Euro 2024 pada 16 Jun nanti dengan aksi pertama mereka adalah menentang Belanda yang dijadualkan berlangsung di Volksparkstadion. – AGENSI
INFO
JURULATIH: Michal Probierz
GELARAN: The Eagles
PENCAPAIAN: Suku akhir (2016)
RANKING: No.28 dunia
KUMPULAN: D (Belanda, Austria, Perancis)
SENARAI PEMAIN
PENJAGA GOL
Wojciech Szczesny (Juventus)
Lukasz Skorupski (Bologna)
Marcin Bulka (OGC Nice)
PERTAHANAN
Oliwier Zych (Puszcza Niepolomice)
Jan Bednarek (Southampton)
Bartosz Bereszynski (Empoli)
Jakub Kiwior (Arsenal)
Tymoteusz Puchacz (Kaiserlsuatern)
Bartosz Salamon (Lech Poznan)
Pawel Dawidowicz (Verona)
Pawel Bochniewicz (Heerenveen)
Sebastian Walukiewicz (Empoli)
TENGAH
Kamil Grosicki (Pogon Szczecin)
Piotr Zielenski (Napoli)
Przemyslaw Frankowski (Lens)
Sebastian Szymanski (Fenerbahce)
Jakub Moder (Brighton)
Damian Szymanski (AEK Athens)
Nicola Zalewksi (AS Roma)
Bartosz Slisz (Atlanta United)
Michal Skoras (Club Brugge)
Jakub Piotrowksi (Ludogorets Razgrad)
Taras Romanczuk (Jagiellonia Bialystok)
Kacper Urbański (Bologna)
PENYERANG
Robert Lewandowski (Barcelona)
Arkadiusz Milik (Juventus)
Karol Swiderksi (Verona)
Krzysztof Piatek (Istanbul Basaksehir)
Adam Buksa (Antalyaspor)