PARIT – Seorang doktor perubatan ditahan kelmarin selepas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun membuat laporan polis mendakwa diganggu secara seksual oleh pegawai tersebut.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, laporan itu dibuat oleh mangsa di Balai Polis Bota kira-kira pukul 9.14 malam, Selasa lalu.
Menurut beliau, remaja tersebut mendakwa dia telah diganggu secara seksual oleh seorang lelaki dipercayai doktor sewaktu mendapatkan rawatan di wad kecemasan sebuah hospital di sini.
“Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah membuat tangkapan ke atas seorang doktor pada pukul 2 petang kelmarin untuk siasatan lanjut,,” katanya dalam kenyataan semalam.
Hafezul Helmi memberitahu, suspek direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jelas beliau, mangsa pula berada dalam keadaan stabil.
OPrang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Zulkarnain Jusoh di talian 013-9740294. – KOSMO! ONLINE