LONDON – Kapten Manchester United, Bruno Fernandes sedang mendesak pihak pengurusan pasukan itu memberikannya kontrak baharu untuk meletakkannya dalam kategori penerima gaji tertinggi bersama Marcus Rashford, Casemiro dan Jadon Sancho.
Walaupun pemilik bersama United, Sir Jim Ratcliffe menganggap Fernandes sebagai pemain terbaik pasukan dan tidak berhasrat untuk menjualnya, namun masa depannya di United masih samar kerana belum disahkan sama ada beliau akan kekal di Old Trafford atau tidak.
Fernandes menandatangani kontrak baru pada April 2022 bernilai kira-kira £220,000 (RM 1.27 juta) seminggu dengan tempoh hingga 2026, tetapi difahamkan United sedia melepaskannya jika terdapat sebarang tawaran yang realistik.
Terdahulu, pemain Portugal itu menyertai United pada Januari 2020 dan hanya memenangi Piala Carabao dan Piala FA, malah gagal membantu The Red Devils untuk mencabar gelaran Liga Perdana Inggeris dengan serius musim lalu.
Pencapaian kelab yang menduduki tempat kelapan adalah yang paling rendah dalam penyertaan pasukan itu pada era Liga Perdana Inggeris walaupun mereka layak bersaing dalam Liga Europa musim depan.
Selain Fernandes, Rashford adalah pemain dengan nilai potensi tertinggi untuk dilepaskan United biarpun kontraknya masih panjang sehingga 2028. – AGENSI