PETALING JAYA – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan bahawa bekalan air di kesemua tujuh kawasan terjejas antaranya Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi tadi.
Air Selangor dalam kenyataan berkata, kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang bemula 5 Jun lalu (Rabu) telah siap.
“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.
“Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual dari semasa ke semasa, daripada saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE