SEIRING tema Inspirasi Generasi sempena sambutan ulang tahun yang ke-40, TV3 tampil mengetengahkan idea dan konsep daripada tenaga kerja generasi Z serta Milenial.
Mencatat lebih 6,000 pengunjung, acara tersebut turut mengangkat pameran seni digital berunsurkan teknologi terkini di acara Immersio:Inspirasi Generasi By TV3 yang diadakan di Muzium Telekom bermula 20 Mei lalu sehingga 9 Jun ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof, segala idea dan hasil kerja bagi sambutan kali ini diserahkan sepenuhnya kepada kakitangan generasi muda di Media Prima.
“Ini kali pertama kami membiarkan tenaga kerja yang terdiri daripada Generasi Z dan Milenial menentukan sambutan ulang tahun ke-40. Jadi, mereka merancang kelainan dengan mengadakan pameran digital yang sangat popular ketika ini.
“Untuk sambutan kali ini kami bekerjasama dengan Muzium Telekom dan Yayasan Telekom. Paling menarik yang mahu ditonjolkan tahun ini ialah aktiviti yang membabitkan seni digital hasil sentuhan tujuh artis. Sangat hebat!
“Ini hal yang menarik apabila beri peluang kepada generasi muda mengekspresikan seni dan diri mereka. Hasilnya sangat membanggakan,” katanya.
Tambah Nini, pihaknya berpuas hati dengan keseluruhan idea yang disampaikan oleh semua yang terlibat terutamanya menerusi Inspirasi Art Showcase.
Menerusi pameran itu, tujuh anak seni tempatan mengubah enam bilik di Muzium Telekom menerusi projek pemetaan cahaya dan seni digital dengan instalasi interaktif.
Enam karya seni tempatan tersebut terdiri daripada Bilik Wanita yang dihasilkan oleh Lakarumni dan Crystal Amira, Bilik Buletin Utama TV3 (Aw-Kult), Bilik Hiburan (Farhan Fathee), Bilik Raudhah (Sonik-Bingit!), Bilik Majalah (Fakhrur) dan Bilik Drama (Yeo Sen).
“Jika kita pergi ke setiap bilik pameran, anda akan terpukau dengan kelainan konsep yang diketengahkan.
“Kesemua konsep dipamerkan adalah perjalanan program yang meletakkan TV3 untuk kekal nombor satu pada hari ini. Seni digital yang dipamerkan sangat mengagumkan,” katanya lagi.
Antara bilik pameran yang mencuri perhatiannya ialah Buletin Utama dan Bilik Wanita.
“Bilik Wanita direka berdasarkan ‘project mapping’ memaparkan aturan seni memukau dalam meraikan keberanian wanita yang terinspirasi menerusi program Wanita Hari Ini dan Nona.
“Manakala, Bilik Buletin Utama pula membawa tema Mesin Massa yang memaparkan kehidupan kompleks, namun berkembang pesat yang sering dipaparkan menerusi program Buletin Utama dan Malaysia Hari Ini,” katanya lagi.
Selain itu, acara Immersio : Inspirasi Generasi By TV3 pada Sabtu lalu turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa selebriti popular yang menghiasi naskhah terbitan TV3 seperti Erysha Emyra, Zahiril Adzim, Bella Astillah, Muaz Zabir dan Meerqeen.