fbpx

Azizulhasni teruja penampilan Olimpik terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI (tengah) bersama Shah Firdaus (kiri) dan Izzah Izzati akan terbang ke Eropah menghadapi kejohanan di Belgium minggu ini. - FARIZ RUSADIO

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang teruja untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik kelimanya yang kini berbaki 49 hari sebelum temasya sukan berprestij di Paris, Perancis itu membuka tirainya 26 Julai ini.

Beliau juga menyatakan akan bersara dengan tenang sekiranya berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 itu nanti.

“Saya sebenarnya sangat teruja untuk pergi ke Eropah dan bertanding di Paris, mungkin kerana ini Olimpik terakhir dan semestinya saya akan melakukan sehabis baik buat Malaysia,” kata Azizulhasni.

Pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 berusia 36 tahun itu berkata, menghadiahkan emas Olimpik sulung negara kepada seluruh rakyat Malaysia merupakan perancangannya di Paris.

Namun, juara dunia keirin 2017 itu tetap berwaspada dengan segala kemungkinan yang bakal dihadapinya di Paris termasuk taktikal luar biasa daripada pelumba negara lain yang sering kali memberikan saingan hebat.

“Tetapi kita tak tahu apa yang akan berlaku, macam di Tokyo saya berada dalam keadaan baik. Suku akhir dan separuh akhir saya menang walaupun belum bagi 100 peratus tetapi bila di final walaupun saya yakin boleh menang, ada pula pelumba yang buat taktikal luar biasa,” katanya.

Azizulhasni ditemui bersama dua lagi pelumba negara yang akan menggalas cabaran di Olimpik Paris iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pada Majlis Pelancaran Team Mas di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Tiga pelumba negara itu akan berangkat ke United Kingdom minggu ini untuk sesi percubaan basikal serta persiapan terakhir sebelum ke Belgium menghadapi kejohanan di sana.

Dalam masa sama, Azizulhasni menyatakan bahawa terdapat penambahbaikan pada basikal dengan tetapan terbaik selepas beberapa pelarasan dilakukan sebelum ini dan menjelaskan mereka akan merasmikan basikal tersebut di Belgium nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI