fbpx

Ahmad Jailani dilantik Pengerusi SPA baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD JAILANI dilantik sebagai Pengerusi SPA baharu berkuat kuasa hari ini.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pelantikan Ahmad Jailani diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 139(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Ahmad Jailani memiliki Ijazah Kedoktoran dari Hiroshima University, Jepun mempunyai pengalaman yang luas selama 30 tahun dengan memegang pelbagai jawatan penting dalam Perkhidmatan Awam.

“Ia termasuk sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, jawatan Pengerusi SPA sebelum ini disandang oleh Tan Sri Zainal Rahim Seman yang telah menamatkan perkhidmatan pada 24 Julai 2023.

Susulan itu, semua mesyuarat SPA melibatkan pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan penjawat awam telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPA.

Namun bagi urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan kawalan tatatertib anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan, Pengerusi SPA hendaklah menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 138 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, semenjak Julai 2023, Mesyuarat SPKP tidak dapat diadakan kerana ketiadaan Pengerusi SPA yang juga merangkap Pengerusi SPKP. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI