fbpx

10,000 calon tidak ambil SPM, pekerja gig dipelawa sertai TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid melawat reruai pada Hari TVET Negara di ILP Kuala Langat, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LANGAT – Lebih 10,000 pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dipelawa menyertai mana-mana program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) sebagai jaminan masa depan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu terbuka kepada pelajar yang mempunyai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Menurut beliau, tawaran sama turut diberikan kepada seramai 1.16 juta pekerja gig iaitu e-hailing dan p-hailing dalam usaha meningkatkan produktiviti masing-masing.

“Saya fikir semua (calon yang tidak menduduki SPM) mempunyai kemahiran minimum (3M) tersebut dan kita tawarkan mereka menerusi kursus TVET agar masa depan mereka lebih terjamin.

“Begitu juga 1.16 juta pekerja p-hailing dan e-hailing kita tawarkan upskilling dan reskilling apabila melepasi umur tertentu, Masuk (sertai) kursus TVET untuk masa depan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Hari TVET Negara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut menggalakkan 11,173 pelajar yang mendapat semua A memilih menyertai TVET kerana peluang memasuki kolej dan universiti TVET juga cerah.

“Sekarang ada lima Universiti TVET termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

 

Ahmad Zahid melihat pertandingan robotik pada Hari TVET Negara di ILP Kuala Langat, hari ini. – Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

“Kita mendapati ia (pelajar cemerlang ini) akan memendekkan tempoh kursus memandangkan mereka cemerlang dalam akademik.

“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi UP_TVET yang mempunyai lebih 4,000 kursus dan kita memberikan 10 pilihan dengan memastikan setiap permohonan ini akan dapat tempat,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid menegaskan, setakat ini, terdapat 250,000 tempat dengan potensi lepasan SPM menyertai TVET adalah seramai 280,000 yang akan memohon.

“Kita berharap pengambilan pertama pada Julai ini akan dapat menyerapkan 40 peratus (pemohon) memasuki TVET.

“Saya harap ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak memasuki TVET yang menjanjikan peluang pekerjaan dan gaji lebih tinggi. Di Jepun umpamanya, TVET dikenali sebagai KOSEN yang merupakan pilihan utama semua lepasan sekolah menengah di peringkat umur 15 tahun.

“Di negara ini, Kementerian Pendidikan turut memulakannya melalui kolej vokasional dan teknikal bagi lepasan Tingkatan 3,” katanya, – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI