KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui cabaran pertahanan dan kedaulatan negara ketika ini sudah semakin rumit, pelbagai dan tidak menentu.
Katanya, setiap cabaran itu hadir dalam bentuk dan pendekatan yang tidak diduga.
“Sepanjang hujung minggu yang lalu saya dan delegasi Mindef (Kementerian Pertahanan) berada di Singapura untuk menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan Dialog Shangri-La 2024.
“Hampir semua Menteri Pertahanan dari pelbagai negara yang saya temui mengakui, keperluan dan kepentingan untuk mengukuhkan ketumbukan pertahanan dengan pelbagai jenis ilmu, kemahiran dan keupayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Universiti Luar Negara (ULN) Tahun 2024 di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, berbekalkan realiti yang berlaku dalam dunia pertahanan, Mindef dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahu memberi perhatian kepada usaha mengumpul bakat-bakat terbaik.
“Kita mahu menarik seramai mungkin bakat-bakat terbaik dalam pelbagai bidang di luar sana untuk menyertai ATM.
“Hanya dengan mempunyai bakat terbaik, pelbagai keperluan dan cabaran pertahanan masa depan dapat kita uruskan dengan berkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE