PETALING JAYA – Seorang wartawan dari Kumpulan Media China (CMG) mengejutkan orang ramai apabila fasih berbicara dalam Bahasa Melayu ketika menemu bual Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun wartawan tersebut, Liang Liang atau lebih mesra disapa Husna, wawancara bersama Ahmad Zahid dilakukan sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Dalam wawancara tersebut, Husna bertanyakan kepada Ahmad Zahid tentang perkara yang tidak dapat dilupakan sepanjang sesi lawatan ke China.
Selain itu, Husna juga turut meminta Ahmad Zahid memberikan beberapa pesanan dan nasihat buat belia-belia di China yang ingin meningkatkan persahabatan bersama Malaysia.
Sementara itu, dalam video lain dikongsi oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang turut berada di China, Husna telah mempelajari Bahasa Melayu sejak 12 tahun lalu.
Kata Husna, ketika berada di sekolah menengah, dia perlu membuat pilihan untuk mempelajari bahasa asing yang ada bagi melanjutkan pelajaran.
“Bila belajar bahasa asing itu, pelajar perlu pergi ke negara tersebut selama dua semester. Jadi bila saya cari negara apa yang selamat untuk saya pergi, negara Malaysia yang terdetik. Sebab itu saya belajar Bahasa Melayu,” jelasnya.
Selain Husna, terdapat tiga lagi wartawan juga fasih berbahasa Melayu dikenali sebagai Fadil, Hani dan Safwah oleh pensyarah-pensyarah dari Malaysia.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut melahirkan rasa keterujaannya apabila Bahasa Melayu diangkat martabat hingga ke negara China.
“Teruja saya kerana bahasa kebangsaan kita, Bahasa Melayu dapat dikuasai dengan fasih oleh rakyat negara lain dan difahamkan lebih 15 universiti tempatan di China ini menawarkan dan mengajar bahasa melayu buat pelajar-pelajar.
“Semoga hubungan ikatan antara kedua negara ini terus utuh bersempena dengan Ulangtahun Diplomatik Malaysia-China yang ke-50,” katanya.
Pada 22 Mei lalu, Ahmad Zahid mengadakan lawatan lawatan rasmi beliau yang pertama ke China selama 11 hari sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Lawatan rasmi beliau yang berakhir pada 1 Jun, dilihat berjaya memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-China yang terjalin sejak 50 tahun lalu, selain memperluas kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang dan sektor. – KOSMO! ONLINE
@husnaliangliang Chinese reporter interview the Hon. Deputy Prime Minister #AhmadZahidHamidi in Malay Language. Wawancara kali ini dilakukan sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia, amat bermakna bagi saya! 🇨🇳🇲🇾Terima kasih banya! #bahasamelayu #Malaysia #50thAnniversaryChinaMalaysia ♬ 原创音乐 – Husna